PETALING JAYA: “Kita uruskannya Selasa ini.”
Sebagaimana ringkasnya kenyataan Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat sebelum mengakhiri prosiding rayuan akhir bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak Jumaat lalu itu, ringkas jualah maksud yang tersirat di sebalik ayat tersebut.
Dua maksud yang mengiringi kenyataan itu ialah ‘Mahkamah akan terus membuat keputusan’ atau ‘Mahkamah akan menangguhkan keputusan rayuan akhir ke satu tarikh yang akan ditetapkan kemudian’.
Panel lima Hakim Mahkamah Persekutuan berhak memutuskan terus rayuan akhir Najib pada Selasa ini memandangkan peguamnya, Hisyam Teh Poh Teik sejak Khamis lalu menyatakan beliau tidak akan mengemukakan sebarang hujahan pada rayuan tersebut.
Peguam itu juga menyerahkan kepada mahkamah sama ada ingin menggunakan hujah pembelaan yang dikemukakan di peringkat Mahkamah Rayuan pada Mei 2021 ketika membuat penilaian dan pertimbangan kelak.
Hisyam dan pihak pembelaan ketika ditemui juga mengesahkan Mahkamah Persekutuan boleh membuat keputusan untuk mengekalkan sabitan salah dan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta pada Selasa ini, 23 Ogos 2022.
Hukuman itu dijatuhkan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 28 Julai 2020 selepas Najib didapati bersalah atas satu pertuduhan salah guna kuasa, tiga pertuduhan pengubahan wang haram dan tiga pertuduhan pecah amanah jenayah.
Pada 8 Disember tahun lalu, Mahkamah Rayuan menolak permohonan Najib dan mengekalkan sabitan ke atasnya.
Namun, Hisyam yang masih kekal berada di mahkamah sepanjang prosiding walaupun menyatakan bahawa Najib pada dasarnya tidak lagi mempunyai peguam bela, berharap panel lima hakim itu tidak berbuat demikian.
Selain Hakim Tengku Maimun, panel turut dianggotai Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim dan Hakim-Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Nallini Pathmanathan, Datuk Mary Lim Thiam Suan dan Datuk Mohamad Zabidin Mohd. Diah.
Sekiranya Mahkamah Persekutuan menangguhkan keputusan rayuan akhir itu ke satu tarikh lain, Najib masih belum boleh tidur nyenyak.
Persoalan sama ada beliau akan dibebaskan atau akan terus dibawa ke penjara sebaik sahaja mahkamah membuat keputusan akan terus menghantuinya bak bayang-bayang sehinggalah penghakiman itu diumumkan.
Que sera, sera, apa yang akan berlaku akan tetap berlaku. Namun sama ada ia berpihak pada Najib atau tidak, hanya panel lima hakim itu sahaja yang mengetahuinya. – UTUSAN










