KOTA BHARU: Pas menegaskan kerjasama antara parti itu dengan UMNO menerusi Muafakat Nasional (MN) masih wujud dan tidak berkubur sepertimana yang didakwa.
Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, MN akan terus diperkukuh menerusi perbincangan dan perjumpaan antara kepemimpinan tertinggi kedua-dua parti.
“Kita tidak putus dengan MN, itu jelas (Pas tidak putus hubungan dengan MN). Selagi tak sampai masanya (terkubur), kita akan teruskan usaha-usaha yang telah dibuat.
“Walaupun tidak ada mesyuarat MN, kita tetap bertemu dengan pemimpin-pemimpin. Dalam waktu terdekat pun kita bertemu, cuma dibuat dalam keadaan yang tidak terbuka,” katanya selepas merasmikan Kejohanan Olahraga Tahunan Peringkat Sekolah Tahun 2022 di Sekolah Kebangsaan (SK) Islah di sini, hari ini.
Ahli Parlimen Kota Bharu itu memberitahu, Pas akan meneruskan kerjasama berkenaan demi perpaduan dan kestabilan negara.
Katanya, Pas meletakkan penyatuan ummah dan perpaduan nasional sebagai agenda utama dan segala usaha ke arah itu terus diteliti sebaik mungkin.
“Hal ini termasuk bekerjasama dengan mana-mana pihak yang boleh mewujudkan penyatuan ummah tanpa mengira mana-mana parti,” ujarnya.
Sebelum ini, kerjasama MN antara UMNO dan Pas dilihat seperti menuju ke arah perceraian susulan kenyataan kedua-dua kepemimpinan parti yang seolah-olah menyalahkan antara satu sama lain.
Antaranya tuduhan Pas yang kononnya UMNO melanggar piagam MN. – UTUSAN










