Motosikal Yamaha RXZ diletakkan di inap desa dicuri -

Motosikal Yamaha RXZ diletakkan di inap desa dicuri

GAMBAR kenangan Mohamad Adib Md. Saleh bersama motosikal jenis Yamaha RXZ yang hilang dipercayai dicuri di sebuah homestay di Kampung Pak Tijah, Kuala Nerus, hari ini. - UTUSAN/KAMALIZA KAMARUDDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Seorang pemilik motosikal jenis Yamaha RXZ mendakwa motosikal kesayangannya itu hilang dipercayai dicuri di sebuah inap desa di Kampung Pak Tijah, Kuala Nerus, di sini,  hari ini.

Mohamad Adib Md. Saleh, 31, dari Kuala Lumpur berkata, dia tiba di sini pada Jumaat  lalu untuk menyertai Himpunan RXZ Member 4.0 di  Litar Permotoran Terengganu, Kompleks Sukan Gong Badak dekat sini semalam.

Katanya, dia menyedari kehilangan motosikal itu ketika hendak keluar dari homestay di kampung Pak Tijah, Kuala Nerus itu selepas menunaikan solat Subuh pada pagi ini.

“Rasa pelik sebab pintu grill di  homestay yang saya sewa itu dikunci dengan mangga dari luar dan lebih terkejut apabila mendapati dua RXZ milik saya dan seorang lagi kawan turut lesap.

“Kami, seramai sembilan orang juga tidak boleh keluar dari rumah kerana semua pintu di rumah itu telah dikunci dengan mangga oleh pencuri terbabit.

“Seorang kawan saya menghubungi pihak polis dan tidak lama kemudian ada anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat datang ke rumah homestay untuk membuka kunci tersebut,” katanya ketika dihubungi di  sini, hari ini.

Tambahnya, dia kemudian membuat laporan mengenai kehilangan motosikal tersebut di ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu pada pukul 2 petang.

Mengulas lanjut, Mohd Adib berkata, dia  terkilan kerana motosikal itu juga adalah kesayangan keluarganya kerana dibeli oleh ayahnya dengan harga RM5,000 pada tahun 1991.

“Ia digunakan oleh seorang demi seorang abang saya untuk pergi bekerja. Memang banyak sangat jasa motosikal RXZ itu kepada kami sekeluarga.

“Pada tahun 2,000 abang saya menjual motosikal RXZ tersebut kerana tiada keperluan lagi sehinggalah kami adik beradik terjumpa semula motosikal itu pada tahun 2021. 

“Saya membelinya semula pada harga RM6,000 dan berhabisan RM25,000 untuk membaikinya semula dengan alat ganti asli. Kos bukan murah sebab ia adalah keluaran lama dan ada sesetengah bahagian alat ganti agak sukar dicari.

“Memang rasa sangat terkilan, sedih dan kecewa dengan kejadian ini kerana motosikal RXZ itu adalah kesayangan kami sekeluarga sejak 31 tahun lepas,” katanya.

Mohd Adib berkata, beliau meminta tolong dari beberapa group RXZ di Facebook untuk mengesan motosikal itu dan berdasarkan maklumat, jentera itu dipercayai dilarikan ke Kelantan.

“Ada dua orang telefon saya pagi tadi memaklumkan dua motosikal itu dikesan di Kampung Raja, Besut dan tidak lama kemudian di Tok Bali, Kelantan.

“Saya sangat berharap agar dapat menjumpai semula motosikal itu secepat mungkin,” katanya yang akan membuat laporan polis dalam masa terdekat.

Menurutnya, konvoi mereka sepatutnya pulang ke Kuala Lumpur selepas Subuh hari ini kerana Mohd Adib yang bertugas di Universiti Kuala Lumpur (UNIKL) terlibat dengan istiadat konvokesyen universiti tersebut esok. –UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya