PETALING JAYA: Seorang mekanik ditahan semalam selepas mengugut teman wanitanya kerana berang mangsa enggan meneruskan hubungan dengannya.
Penahanan suspek berusia 19 tahun itu dilakukan selepas dia dia dipercayai mengugut mangsa dengan pisau Sabtu lalu.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, kejadian berlaku 12 tengah hari apabila remaja perempuan berusia 17 tahun pergi ke rumah suspek yang berusia 19 tahun di Taman Ukay Bistari.
Beliau berkata, suspek menuntut ganti rugi perbelanjaan ketika mereka menjadi pasangan kekasih berjumlah RM700.
“Ketika di dalam rumah, suspek bertindak kasar dengan menolak mangsa lalu mengacukan dua pisau berlainan sebanyak dua kali.
“Suspek juga mengeluarkan kata ugutan bunuh kerana pengadu tidak mahu meneruskan hubungan dengan suspek,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, suspek juga merampas telefon bimbit dan menghempaskan ke lantai menyebabkan telefon remaja terbabit rosak.
“Susulan itu, sepasukan pihak polis membuat tangkapan ke atas suspek kira-kira pukul 8.30 malam tadi.
“Turut dirampas, sebatang cota, dua pisau dan sebuah telefon bimbit yang digunakan semasa kejadian,” jelasnya.
Kata Mohamad Farouk, semakan rekod jenayah lampau juga dapati suspek tidak mempunyai rekod jenayah.
“Reman terhadap suspek akan dipohon hari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan,” katanya. –UTUSAN