PASIR PUTEH : Mayat seorang lelaki tempatan ditemukan dalam keadaan terapung dipercayai lemas di kawasan berbatu di Batu Panjang, Kuala Tok Bali dekat Semerak di sini kelmarin.
Lelaki berusia lingkungan 30-an itu ditemukan kira-kira pukul 11.45 malam tadi sebelum dibawa naik ke darat oleh pasukan bomba dan penyelamat.
Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, Superintendan Zaizul Rizal Zakaria berkata, mangsa merupakan warga tempatan berpandukan kepada tanda suntikan Bacille Calmette-Guerin (BCG) yang terdapat pada bahu kirinya.
Menurutnya, tiada sebarang kesan yang boleh dikaitkan dengan jenayah, malah, pemeriksaan lanjut pada mangsa tidak ditemui sebarang dokumen berkaitan dengan lelaki itu.
“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Tengku Anis di sini dan post mortem mendapati kematian lelaki itu disebabkan lemas di dalam air.
“Polis masih mengenal pasti identiti mayat itu untuk mengesan ahli keluarganya dan siasatan masih dijalankan ketika ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Zaizul Rizal memberitahu, orang ramai mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian itu diminta untuk memberi maklumat di balai polis berhampiran dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut. –UTUSAN