Mas Idayu tak sangka terima tajaan RM7 juta - Utusan Malaysia

Mas Idayu tak sangka terima tajaan RM7 juta

MAS Idayu berdebar menanti hari bahagia
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Penyanyi dangdut terkenal, Mas Idayu terharu majlis perkahwinannya dengan Muhammad Sufian Isa yang akan berlangsung pada 16 September ini mendapat tajaan mencecah RM7 juta.

Mas Idayu, 50, berkata dia tidak terfikir banyak pihak tampil menyuarakan minat mereka untuk menaja majlis perkahwinannya selepas dia mengumumkan bakal menamatkan zaman solonya pada April lalu.

“Alhamdulillah, saya langsung tidak menyangka untuk perkahwinan kedua ini akan dikurniakan rezeki tajaan dianggarkan mencecah RM7 juta. Ia termasuk barangan kemas, tajaan lokasi, busana perkahwinan dan katering.

“Saya sebenarnya tidak terlalu memikirkan sangat tentang kos majlis perkahwinan, sebaliknya mahu memberikan lebih fokus kepada kehidupan selepas bernikah nanti,” katanya pada sidang media dan majlis pelancaran produk Twenty di ibu kota, semalam.

Upacara pernikahan pasangan itu akan berlangsung di Magica Quill City Mall di sini, disusuli majlis persandingan bertemakan dongeng dan fantasi di lokasi sama yang bakal melakar rekod dalam Malaysia Book Of Record (MBOR).

Menghitung hari menanti detik bersejarah itu, penyanyi Selangit itu berkata, dia berdebar untuk kembali bergelar isteri dan berharap perkahwinan keduanya itu menjanjikan kebahagiaan sebenar yang dicarinya selama ini.

“Sudah 16 tahun saya hidup sendirian, jadi perasaan untuk kembali ke alam rumah tangga itu lain sedikit. Saya berharap pernikahan ini menemukan saya dengan kebahagiaan yang didambakan selepas perkahwinan pertama gagal di pertengahan jalan,” katanya.

Ditanya perancangan berbulan madu, Mas Idayu berkata, dia dan bakal suami merancang untuk bercuti dua minggu.

“Insya-Allah, kami akan pergi berbulan madu, namun destinasi percutian belum diputuskan.
“Saya mengimpikan percutian bulan madu di Santorini, Greece. Tengoklah macam mana nanti,” katanya.

Penyanyi yang mesra disapa sebagai Mummy itu sebelum ini mendirikan rumah tangga dengan pelakon, Aman Graseka pada 1997, namun hanya bertahan sembilan tahun. Mereka dikurniakan seorang anak, Nur Dayini Asyiqa, kini berusia 25 tahun.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN