Mangsa ribut diberi rumah sementara - Utusan Malaysia

Mangsa ribut diberi rumah sementara

MOHD. JAFNI MD. SHUKOR (kiri) meninjau Rumah Pangsa Ros Merah yang rosak akibat dilanda ribut, baru-baru ini
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISKANDAR PUTERI: Kira-kira 45 keluarga yang terkesan akibat bencana ribut yang melanda Rumah Pangsa Ros Merah di Taman Johor Jaya, dekat sini Jumaat lalu akan diberikan rumah sementara.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Mohd. Jafni Md. Shukor berkata, kemudahan tempat tinggal itu disediakan sepanjang kerja-kerja membaik pulih bumbung enam blok yang musnah dalam bencana tersebut.

Bagaimanapun, tawaran itu bergantung dengan kesesuaian keluarga mangsa,  terutamanya mereka yang tidak memiliki tempat tinggal lain.

“Esok, saya akan bertemu dengan keluarga mangsa di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Serbaguna Taman Johor Jaya bagi mengumumkan perkara berkenaan selain menyampaikan bantuan wang tunai RM1,000.

“Kita juga akan memberi maklumat lebih lanjut berkaitan tawaran rumah sementara itu kepada mereka yang memerlukan sehingga tempat tinggal asal mereka dibaik pulih,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Watikah Pelantikan Ketua WHIP, Ahli Majlis dan Pengerusi Yayasan Pihak Berkuasa Tempatan Negeri Johor di Dewan Utama, Majlis Bandaraya Iskandar Puteri, di sini hari ini. 

Majlis tersebut disempurnakan oleh Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi.

Jumaat lalu, kira-kira 50 keluarga dipindahkan ke PPS Dewan Serbaguna Taman Johor Jaya selepas kediaman mereka rosak dan musnah dinaiki air dalam kejadian ribut yang menerbangkan bumbung enam blok di kawasan itu.

Sebahagian mangsa masih berada di PPS tersebut kerana tidak ada tempat lain, manakala sebilangannya berpindah ke rumah saudara terdekat.  

Mohd. Jafni memberitahu, pihaknya akan melakukan kerja pembersihan sisa bumbung bagi mengelakkan tidak ada serpihan yang terjatuh, sekali gus membahayakan penduduk di situ.

“Misalnya, sisa bumbung yang tertinggal dan dalam keadaan rosak akan diturunkan dan permukaan bahagian itu akan dipasang kain kanvas bagi mengelakkan air hujan membasahi kediaman penduduk dan mengakibatkan kerosakan.

“Kita juga akan melihat tahap keselamatan sistem paip dan elektrik sama ada terjejas akibat bencana tersebut,” ujarnya.

Rumah pangsa itu bukan di bawah kerajaan negeri, sebaliknya memiliki badan pengurusan (MC), namun berikutan kos baik pulih yang tinggi dan mungkin berdepan pihak berkaitan sukar untuk menampungnya.

“Oleh itu, Pejabat Menteri Besar bersetuju untuk  menampung separuh daripada kos tersebut manakala selebihnya ditanggung oleh pihak berkuasa tempatan (PBT). Sekiranya kos RM1juta, kedua-dua pihak masing-masing akan membiaya kos RM500,000,” katanya. –UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.