Mangsa cerita pengsan selepas serpihan atap hempap kepala  -

Mangsa cerita pengsan selepas serpihan atap hempap kepala 

MOHD. Fakhrul Izwan (kanan) menunjukkan kepala Dhia Insyirah yang menerima tiga jahitan selepas dihempap serpihan atas dalam kejadian tangki air pecah di SMK Melor, Kota Bharu kelmarin.FOTO ROHANA MOHD.NAWI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Salah seorang daripada lima pelajar yang cedera dalam kejadian tangki air pecah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Melor di sini kelmarin mengakui terus pengsan selepas serpihan atap menghempap kepalanya.

Dhia Insyirah Mohd. Fakhrul Izwan, 14, berkata, sebelum kejadian, dia bersama empat rakan sekelasnya sedang berjalan menuju ke kantin sekolah untuk rehat kira-kira pukul 10.15 pagi.

Menurutnya, semasa berjalan melalui laluan berbumbung (susur gajah), telinganya tiba-tiba hilang pendengaran sebelum kedua-dua belah matanya berasa gelap dan terus tidak sedarkan diri.

“Apabila sedar, saya dapati pakaian sekolah sudah dipenuh darah dan bahagian kepala terasa amat sakit. Saya berasa pening dan guru memaklumkan bahawa atap laluan susur gajah jatuh atas kepala saya akibat tangki air pecah.

“Saya terus dibawa ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian. Kejadian itu menyebabkan kepala saya menerima tiga jahitan, luka di dahi dan kedua-dua belah tangan,” katanya kepada Utusan Malaysia di Kampung Tasik, Mahligai, Melor di sini semalam.

Sementara itu, bapa mangsa, Mohd.Fakhrul Izwan Hussein, 38, berkata, dia bersyukur Dhia Insyirah tidak mengalami kecederaan yang serius.

Katanya, dia pada awalnya terkejut mendengar kejadian tangki air pecah di sekolah lebih-lebih lagi mangsa merupakan anaknya.

“Saya berasa lega selepas melihat Dhia Insyirah sudah boleh bercakap semasa di hospital meskipun dia menangis akibat sakit pada bahagian jahitan di kepala.

“Saya berterima kasih kepada semua pihak yang membantu anak saya dalam kejadian itu. Dhia Insyirah juga dibenarkan cuti rehat selama tiga hari bermula hari ini (semalam),” katanya. –UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya