PETALING JAYA: Majikan daripada pelbagai sektor masih memerlukan lagi 300,000 pekerja asing dengan secepat mungkin, di sebalik 200,000 pekerja asing daripada 15 negara sumber diluluskan Kementerian Sumber Manusia.
Ini selepas Malaysia mula menerima kemasukan kumpulan pertama pekerja Bangladesh bagi sektor pembuatan minggu lalu, dengan Suruhanjaya Tinggi Bangladesh mengesahkan permohonan daripada 80 majikan tempatan yang melibatkan penggajian seramai 6,000 warga Bangladesh.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Presiden Pertubuhan Kebangsaan Agensi Pekerjaan Swasta Malaysia (PIKAP), Fiona Low berkata, jumlah itu masih kecil jika dibandingkan dengan permohonan yang sudah diterima kerajaan iaitu kira-kira 200,000 orang untuk pengambilan pekerja asing sejak dua bulan lalu.
KUOTA
Malah, katanya, hanya sebilangan kecil pekerja dari Nepal dan negara lain yang dapat dibawa masuk dari kuota penggantian setakat ini dan masih menunggu ketibaan pekerja Bangladesh.
“Klien kami iaitu majikan amat memerlukan pekerja ketika ini terutama dari sektor perkilangan, pembinaan, perkhidmatan dan perladangan kerana sudah dua tahun selepas pandemik Covid-19, pekerja yang sudah habis kontrak akan balik negara asal tetapi pekerja baharu belum diganti.
“Jadi, antara 300,000 hingga 500,000 pekerja amat diperlukan segera di seluruh Malaysia. Ini memerlukan kerjasama semua pihak termasuk kerajaan supaya supaya permohonan kemasukan pekerja dapat dilakukan lebih cepat dan lancar,” katanya.
Malah, kata Fiona, kerajaan perlu mengambil langkah drastik dalam menyegerakan pengambilan pekerja terutama apabila wujudnya kekurangan pekerja asing yang ketara dalam sektor perladangan.
“Ekonomi dan sektor perladangan akan terus terjejas jika dilambatkan lagi. Sebab itu, kita berharap proses kemasukan pekerja dibuat lebih cepat, supaya dapat membantu majikan memulihkan perniagaan mereka kembali,” katanya.
Selain Indonesia dan Bangladesh, Malaysia juga dijangka menandatangani MoU pengambilan pekerja warga Kemboja awal September ini. – UTUSAN









