JOHOR BAHRU: Malaysia seharusnya menggunakan kedudukan sedia ada untuk menjadi suara negara Islam bagi menggesa dunia supaya bertindak tegas, berani dan berprinsip dalam isu kekejaman Israel di Semenanjung Gaza.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, Malaysia juga perlu menggesa Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) untuk bertindak selain daripada hanya membuat kecaman dan kenyataan.
Menurutnya, pendekatan baharu mesti diambil supaya kekejaman Israel tidak berulang dengan sewenang-wenangnya.
“Walaupun kerajaan Mesir selaku orang tengah mengusahakan satu gencatan senjata, ia dilihat sangat rapuh dan amat berpotensi untuk dilanggar rejim Zionis. Malah, sehingga saat rundingan gencatan senjata itu sedang dibincangkan, rejim Zionis terus membedil Gaza.
“Saya menyeru kepada semua pemimpin politik dan masyarakat di Malaysia untuk melihat dan memperjuangkan isu ini dengan lebih lantang dan serius.
“Tekanan politik dan jalan diplomatik mesti disegerakan agar sebarang gencatan senjata tidak bersifat wayang sahaja, sebaliknya ia benar-benar dipatuhi kedua-dua pihak,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini
Beliau berkata, serangan terkini rejim Zionis telah mengorbankan sekurang-kurangnya 44 nyawa rakyat Palestin, manakala 350 orang awam lain turut tercedera dengan ratusan rumah dan bangunan awam seperti pejabat, kedai serta sekolah musnah teruk.
“Serangan udara sedemikian bukan sahaja kekejaman melampau yang bertentangan dengan nilai kemanusiaan dan undang-undang antarabangsa, malah sudah menjadi rutin kerajaan penceroboh Israel yang hingga kini tidak pernah menerima apa-apa kesan dan pertanggungjawaban atas tindakan mereka.
“Saya mengecam sekeras-kerasnya serangan terbaru rejim Zionis dan kerajaan aparteid Israel ke atas wilayah Gaza yang telah meragut nyawa ramai rakyat Palestin termasuk wanita dan kanak-kanak.
“Marilah kita seluruh masyarakat Malaysia mendoakan kesejahteraan dan keamanan di bumi Palestin,” jelasnya. –UTUSAN ONLINE