IPOH: Seramai 200 pengawal keselamatan yang bertugas di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini mendakwa tidak dibayar gaji minimum dan upah kerja lebih masa oleh syarikat mereka bekerja.
Mereka mendakwa tidak dibayar gaji secara adil sejak syarikat itu mula beroperasi pada September tahun lalu.
Selain itu, mereka juga mendakwa tidak menerima tunggakan gaji bulan Mei dan Jun sebanyak RM300 selain terdapat perbezaan caruman dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).
Seorang pengawal keselamatan terbabit, S. Santhamathy berkata, keadaan itu menyebabkan pendapatan bulanannya terjejas.
Dia yang merupakan ibu tunggal berkata, sepatutnya pendapatan bulanannya lebih RM2,000 dan ini menjejaskan pembiayaan untuk empat anaknya termasuk dua daripadanya yang sedang melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi.
Menurutnya, hanya dia tidak mendapat arahan untuk menandatangani persetujuan tidak menerima gaji minimum RM1,500 manakala 199 pekerja lain diarahkan untuk menandatangani persetujuan tersebut.
“Semua pengawal keselamatan yang tidak mahu menandatangani persetujuan itu tidak dibayar gaji minimum,” katanya kepada pemberita selepas membuat aduan di pejabat Jabatan Tenaga Kerja di sini bersama beberapa rakannya yang bekerja sebagai pengawal keselamatan di sini hari ini.
Seorang lagi pekerja, Mariam Nasaruddin, 57, berkata, beberapa peraturan lain yang ditetapkan syarikat juga membebankan seperti bekerja pada waktu rehat tidak dikira dalam kiraan upah kerja lebih masa.
Katanya, majikan memberi alasan mereka sudah membayar elaun mingguan 11 jam seperti yang dicatat dalam penyata gaji sebagai elaun pengangkutan.
“Jumlah upah kerja lebih masa setiap hari adalah empat jam tetapi hanya tiga jam yang dikira.
“Majikan tolak satu jam untuk kami makan sedangkan pengawal keselamatan perlu berada di pos sepanjang masa tetapi tidak ada pekerja ganti.
“Kami tidak diberi satu jam ‘clear break‘ untuk makan, sedangkan undang-undang syarikat tidak membenarkan kami makan di pos pengawal. Macam mana kami nak makan dan rehat?,” katanya.
Menurutnya, selain itu, pelbagai potongan gaji yang tidak sah dibuat oleh majikan seperti RM10 jika seminit lewat masuk kerja dan jika sehari tidak datang kerja akan dipotong RM150.
Katanya, syarikat itu mula beroperasi sejak September 2021 tetapi tidak membekalkan uniform kepada pekerja, namun, secara tiba-tiba menolak gaji mereka atas alasan potongan untuk bayaran pakaian uniform.
“Cuti tahunan juga hanya diberi pada tahun kedua kami bekerja dan tunggakan cuti tahunan atau gaji ganti tidak pernah dibayar, kami harap Jabatan Tenaga Kerja campur tangan supaya dapat menangani isu ini,” katanya. – UTUSAN