MAHA2022: 15,000 peluang kerja dalam bidang agro - Utusan Malaysia

MAHA2022: 15,000 peluang kerja dalam bidang agro

PERSIAPAN AKHIR... Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA2022) akan berlangsung esok sehingga 14 Ogos ini. - MOHD. FISOL MUSTAPHA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SERDANG: Reruai utama Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) bakal menjadi pusat sehenti kepada semua pengunjung sempena Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2022 yang akan berlangsung mulai esok sehingga 14 Ogos.

Penyelaras MAFI, Mohammad Ezri Shamsuddin berkata, reruai utama yang terletak di Dewan A Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) itu akan menonjolkan Dasar Agromakanan Negara berlandaskan lima teras iaitu pemodenan pertanian, produk berasaskan eksport, pembangunan bakat, ekosistem perniagaan dan pertanian mampan.

“Kesemua teras strategi ini kita rangkumkan di reruai utama untuk dibawa kepada para pengunjung termasuk pelbagai lagi inisiatif kementerian.

“Dari segi tarikan pula, kita akan menyajikan aktiviti-aktiviti seperti pocket talk, perkongsian ilmu bersama ikon serta barisan selebriti yang akan menghiburkan pengunjung,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di MAEPS semalam.

Mengulas lanjut, Mohammad Ezri berkata, teras pemodenan pertanian akan mengetengahkan program-program berkaitan drone pertanian dan internet of things (IoT) sementara produk berasaskan eksport bakal mempamerkan produk berkualiti tinggi yang mempunyai potensi untuk dieksport ke luar negara.

Tambahnya, menerusi teras pembangunan bakat, para pengunjung terutamanya golongan muda berpeluang untuk mengetahui dengan lebih lanjut mengenai Latihan Kemahiran Pertanian di bawah kolej-kolej pertanian.

“Secara keseluruhan di Dewan A ini, kita turut mempunyai beberapa kluster iaitu agrokulinari dan pameran Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan di mana ada satu terowong khas yang dbuat khusus untuk mempamerkan kejayaan-kejayaan mereka.

“Selain itu, kita juga mempunyai Agro Job Fair yang bakal menawarkan kira-kira 15,000 peluang pekerjaan daripada 106 buah syarikat.

“Bagi pengunjung yang berusia antara 18 hingga 40 tahun pula, kita bawakan pameran Agropreneur Muda, di situ mereka boleh dapatkan pelbagai maklumat untuk menyertai program tersebut yang turut menyediakan geran dan latihan,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya