Litar lumba Sungai Petani yang terbengkalai dibangunkan semula -

Litar lumba Sungai Petani yang terbengkalai dibangunkan semula

MUHAMMAD Sanusi Md. Nor menunggang motosikal ketika Majlis Pelancaran dan Menandatangani Perjanjian Projek Litar Lumba PKB Open Road SP Circuit Sungai Petani di Kedah.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI PETANI: Peminat sukan pemotoran termasuk penduduk daerah ini boleh menarik nafas lega apabila projek litar lumba di Ambangan Heights, Bandar Aman Jaya, di sini yang terbengkalai sejak 2017 bakal dibangunkan semula dalam masa terdekat.

Litar bertaraf antarabangsa sepanjang 1.8 kilometer itu dibangunkan di atas tanah seluas 40 hektar yang turut dilengkapi dengan kawasan komersial, pusat pameran dan jualan serta pusat penyelenggaraan kenderaan.

Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, Litar Lumba Rakyat yang dinaik taraf ke Litar Lumba Antarabangsa itu disebabkan litar yang dibina perlu disediakan dengan trek dan fasiliti perlumbaan yang selamat, profesional dan konduksif serta diselenggara dengan baik. 

“Bagi mengelak beban kewangan masa depan kepada kerajaan, syarikat PKB Open Road sebagai pelabur bersetuju untuk mengambil alih projek tersebut dan walaupun litar ini lebih bersifat komersial, namun, ia juga boleh digunakan rakyat yang berminat dalam sukan permotoran.

“Ia selari dengan hasrat Kerajaan Persekutuan yang diumumkan Perdana Menteri baru-baru ini untuk membina litar di setiap negeri bagi memperkasakan program pembangunan sukan permotoran negara,” katanya pada Majlis Pelancaran dan Menandatangani Perjanjian Projek Litar Lumba PKB Open Road SP Circuit Sungai Petani di sini, malam tadi.

Projek litar yang dirancang kerajaan negeri terdahulu terbengkalai sejak 2017 dan Muhammad Sanusi pada sesi pembentangan Belanjawan 2022 pada November tahun lalu memberitahu, kerajaan sedia meneruskan projek itu, namun, hanya mengikut peruntukan sedia ada.

Sementara itu, Muhammad Sanusi berkata, perkembangan itu juga secara tidak langsung dapat menyelesaikan aktiviti lumba haram dan mat rempit yang mengancam keselamatan orang ramai selama ini.

“Malah pembangunan kawasan ini kelak akan melahirkan ‘Bandar Pemotoran’ yang turut merangsang perkembangan ekonomi yang manfaatnya akan diperolehi penduduk tempatan,” katanya.

Beliau berkata, pada masa hadapan, Kedah bakal mempunyai dua litar lumba iaitu di Langkawi dan Sungai Petani yang mana kedua-duanya akan dibina dan diurus PKB Open Road.

Sementara itu, Pengasas dan Penasihat Kumpulan Open Road World, Datuk David Goh berkata, projek pembinaan litar lumba terbaharu itu bakal menjadi nadi baru untuk Sungai Petani.

“Reka bentuk litar akan dilakukan pakar perunding litar lumba dari United Kingdom yang baru-baru ini telah mereka bentuk litar lumba Formula 1 di Miami, Amerika Syarikat.

“Disamping memohon kelulusan FIA Gred 2 untuk litar di Sungai Petani, kami juga sedang mengusahakan kelulusan FIM Gred B untuk litar ini sebagai tarikan tambahan yang mana pertandingan dan kejohanan lumba motosikal antarabangsa dapat dilangsungkan,” katanya. –UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya