KUANTAN: Beberapa kerusi Parlimen dan lebih 10 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di negeri ini berpotensi dimenangi Pas Pahang pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Pengarah Jabatan Pilihan Raya Pas negeri, Hamdan Abdullah berkata, Pas Pahang telah dapat mencapai unjuran undi kemenangan di beberapa kerusi tambahan untuk ditawarkan urus tadbir yang telus tanpa ketirisan dan rasuah kepada rakyat dengan mengambil alih secara demokrasi.
Beliau berkata, pentadbiran kerajaan Pahang telah lama diuruskan oleh Barisan Nasional (BN) dengan pelbagai isu yang diketahui dan tidak diketahui oleh rakyat negeri ini.
“Jabatan Pilihan Raya Pas Pahang yakin pada PRU15, berdasarkan kedudukan sokongan semasa, gelombang rakyat untuk memberi peluang kepada Pas mentadbir Pahang yang semakin tinggi, pentadbiran kerajaan negeri akan bertukar Insya-Allah,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Hamdan berkata, kerajaan tanpa rasuah, kronism, nepotism dan ketirisan dalam tadbir urusnya adalah cita-cita Pas apabila rakyat Pahang memberi mandat untuk mengendalikan pentadbiran kerajaan negeri selepas PRU15.
“Indek Kesejahteraan akan diperkenal sebagai petunjuk prestasi utama (KPI) kepada pencapaian Pas mengurus tadbir negeri dalam tempoh tiga ke empat tahun, Insya-Allah.
“Indek ini akan menunjukkan kadar kesejahteraan rakyat semakin meningkat, Insya-Allah yang diukur diukur dalam kategori pendidikan, kesihatan, ekonomi, keselamatan dan keceriaan,” katanya.
Beliau berkata, Pas Teraju Pahang adalah slogan yang menjadi pemangkin kepada usaha-usaha ahli, pendokong dan penyokong parti itu dari semua lapisan pengundi.
“Sama ada berparti atau tidak, yang muda belia, yang berusia sederhana atau telah menjadi warga emas, semua menginginkan sebuah kerajaan yang berintegriti tinggi di Pahang selepas PRU15,” katanya.
Pada PRU14 lalu, Pas menang lapan kerusi DUN daripada 42 kerusi. 25 dimenangi BN manakala Pakatan Harapan (PH) sembilan kerusi. – UTUSAN











