LCS: Tadbir urus Kementerian Pertahanan lemah 

LCS: Ahmad Zahid setuju tukar reka bentuk daripada SIGMA kepada GOWIND

Kerajaan dijangka menerima lima LCS pada 2029
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Hasil siasatan Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Kerajaan (JKSTUPKK), Jabatan Perdana Menteri berhubung perolehan enam LCS milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) mendapati, bekas Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi bersetuju menukar reka bentuk LCS daripada SIGMA kepada GOWIND. 

Ini sekali gus mendedahkan kepada salah satu kelemahan urus tadbir Kementerian Pertahanan sedangkan Ahmad Zahid sebelum itu telah pun bersetuju dengan TLDM memilih reka bentuk asal iaitu SIGMA. 

Laporan itu diperoleh setelah Jabatan Perdana Menteri hari ini menyahklasifikasi (nyahrahsia) laporan yang dipengerusikan oleh bekas Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang untuk didedahkan kepada umum. 

Menurut laporan itu, Kementerian Pertahanan bersetuju dengan syor syarikat Boustead Naval Shipyard Sdn. Bhd (BNS) memilih reka bentuk GOWIND dari DCNS, Perancis (France’s Naval Group) seperti dipersetujui Ahmad Zahid dalam surat bertarikh 11 Julai 2011 kepada BNS. 

Keputusan itu bertentangan dengan pendiriannya sebelum ini yang bersetuju dengan TLDM selaku pengguna akhir, untuk memilih reka bentuk SIGMA dari Belanda semasa taklimat TLDM pada 26 Mei 2011. 

“Kesungguhan BNS memilih reka bentuk GOWIND kerana mereka telah berbincang dan berunding lebih awal dengan DCNS untuk melaksanakan pembinaan LCS,” kata laporan itu. 

Kementerian Pertahanan juga tidak mengutamakan kepentingan dan pandangan TLDM, tetapi cenderung dengan cadangan BNS, apabila Jawatankuasa Pemantauan Perolehan Kelengkapan dan Perkhidmatan Siri 4/11 Kementerian Pertahanan, yang bersidang pada 12 Ogos 2011 telah menerima cadangan BNS ke atas pemilihan reka bentuk GOWIND. 

Jelasnya, kaedah penetapan pemilihan reka bentuk Combat Management System (CMS) dan sebahagian peralatan utama adalah berdasarkan syor BNS dan bukan sepenuhnya daripada TLDM. 

“Keputusan itu tidak memihak TLDM yang sewajarnya lebih arif dalam menentukan peralatan yang dipilih menepati spesifikasi dan keperluan operasi.” katanya. 

Kementerian Pertahanan juga didapati tidak melaksanakan usaha wajar (due diligence) terhadap BNS mengikut amalan urus tadbir yang baik, iaitu semakan dengan pelanggan, kelayakan, analisis kewangan, analisis pemilikan, analisis penyampaian, lawatan syarikat, lawatan klien, semakan dan keselamatan. 

Kata laporan itu, projek pembinaan LCS juga dibuat secara runding terus, menyaksikan BNS berulang kali mengemukakan surat permohonan kepada Kementerian Pertahanan supaya Surat Niat dikeluarkan bagi memulakan perancangan dan pembinaan LCS berdasarkan perjanjian penswastaan 1995. 

Dalam pada itu, Memorandum Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan bertarikh 19 September 2011 yang disediakan untuk perakuan Menteri Pertahanan mendapati, maklumat mengenai harga CMS SETIS berjumlah RM270 termasuk sistem dan proses integrasi secara keseluruhan berbanding CMS TACTICOS berjumlah RM349.45 juta adalah tidak tepat. 

“Akhirnya, pada 26 September 2011, Menteri Pertahanan telah memperakukan CMS SETIS dari DCNS bagi perolehan LCS sebagai mana cadangan BNS, dengan sokongan dari Bahagian Perolehan Kementerian Pertahanan,” kata laporan itu. 

Selain itu, jawatankuasa siasatan mendapati, berlaku kelemahan dalam penetapan klausa-klausa yang terkandung dalam kontrak, menyebabkan empat kontrak pembekalan terpaksa dibuat, menyaksikan dua kali pindaan dibuat pada 2015 dan sekali lagi pindaan pada 2016 dan 2017. 

“Ini menunjukkan kelemahan dari segi perancangan, perbincangan dengan kontraktor dan mendapat kelulusan daripada Kementerian Kewangan,” katanya. 

Jawatankuasa mendapati, penetapan LD (Liquidated Damages) di dalam klausa kontrak sehingga maksimum 12 bulan sahaja merugikan kerajaan kerana tuntutan LD tidak boleh dikuatkuasa lagi bagi kelewatan melebihi 12 bulan. 

“Ini menunjukkan peruntukan syarat berhubung LD tidak menjaga kepentingan kerajaan, malah, kelak menyebabkan kehilangan hasil negara bagi kelewatan penyerahan kapal melebihi 12 bulan,” katanya. 

Selain itu, analisis penyata kewangan BNS bagi tempoh 2014 hingga 2018 mendapati syarikat mengalami kerugian tiga daripada lima tahun tersebut, menyaksikan kerugian terkumpul sebanyak RM462 juta pada 2018 sehingga menjejaskan ekuiti syarikat kepada negatif RM332 juta (saham berbayar RM130 juta). 

Malah, masalah pengurusan kewangan dan aliran tunai dihadapi BNS menyebabkan pembayaran kepada pengeluar produk tulen (OEM) dan pembekal tertangguh, mengakibatkan syarikat enggan membekal bahan mentah dan peralatan sehingga kerja pembinaan di limbungan terhenti. 

Untuk rekod, kedudukan keseluruhan pemiutang BNS berjumlah RM801.11 juta dengan pemiutang projek LCS sebanyak RM733.55 juta sehingga 31 Mei 2019. 

Jawatankuasa siasatan juga mendapati berlaku prestasi pelaksanaan projek tidak memuaskan sehingga mengakibatkan kelewatan pelaksanaan LCS sehingga 23 bulan. 

“Bagi LCS 1, sepatutnya kapal telah diserahkan pada April 2019 seperti ditetapkan dalam kontrak, namun, telah ditangguhkan penyerahannya dijangka Februari 2022, namun bergantung pada kelulusan Extension of Time (EOT) oleh kerajaan. Bagi LCS 6, tiada peratusan kemajuan dan perancangan pembinaan kerana penerima steel kits pertama hanya akan tiba pada September 2019,” katanya. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN