LCS bukan projek ‘kapal halimunan’

LCS bukan projek ‘kapal halimunan’

PROJEK LCS dihentikan kerana syarikat bertanggungjawab, Boustead Naval Dockyard Sdn. Bhd. (BNS) sudah 'kehabisan duit' untuk melaksanakannya.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LUMUT: Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS) menafikan dakwaan pembinaan kapal tempur pesisir pantai (LCS) adalah projek ‘halimunan’ seperti dakwaan segelintir pihak sebaliknya lima daripada enam kapal tersebut kini dalam pembinaan.

Ketua Pegawai Eksekutif BNS, Azhar Jumaat berkata, kapal pertama sudah siap 60 peratus manakala empat lagi dalam pelbagai fasa pembinaan di limbungan syarikat tersebut.

“Daripada RM6 bilion yang diperuntukkan untuk projek ini, sebanyak RM1.8 bilion kelengkapan dan sistem sudah dipasang pada kelima-lima kapal tersebut.

“Sebanyak RM1.7 bilion kelengkapan dan sistem pula berada dalam gudang,” katanya dalam taklimat sempena lawatan media ke limbungan BNS di Pangkalan TLDM Lumut di sini semalam.

Menurut Azhar, pihaknya juga menggunakan peruntukan yang diberi itu untuk kos lain seperti pengurusan projek, insurans, bekalan elektrik, penyediaan infra untuk proses pembinaan dan beberapa kos lain.

“Dakwaan berlaku ketirisan sudah dilaporkan kepada pihak berkuasa dan BNS menyerahkan kepada pihak terlibat membuat siasatan dan keputusan.

Beliau menegaskan, pihak­nya memiliki kebolehan dan kemampuan untuk menyiapkan projek tersebut dan yakin anak tempatan mampu melakukannya termasuk dalam memastikan semua 6,000 peralatan dan kelengkapan dapat dipasang siap dalam kapal tersebut.

“Tiada isu mengenai kemampuan untuk menyiapkan projek ini, beri kami peluang untuk membuktikan rakyat tempatan mampu membina LCS dan BNS adalah satu-satunya syarikat perkapalan di Malaysia yang boleh melakukannya termasuk membangunkan sendiri reka bentuk kapal itu yang kini di peringkat 95 peratus.

“Seramai 140 jurutera bekerja bagi menyiapkan reka bentuk kapal manakala 35 jurutera dihantar ke Perancis untuk dilatih bagi proses ini,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.