Laporan LCS TLDM dedah tadbir urus buruk dana awam - Utusan Malaysia

Laporan LCS TLDM dedah tadbir urus buruk dana awam

ISU LSC mendapat perhatian Kabinet yang mengarahkan SPRM dan Pejabat Peguam Negara bertindak.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pendedahan projek tempur pesisir pantai (LCS) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) menjadikan Malaysia makin dikenali dengan amalan tadbir urus yang buruk kerana mengakibatkan negara mengalami kerugian berbilion ringgit melibatkan dana awam.

Transparency International Malaysia (TI-M) dalam satu kenyataan menegaskan, kegagalan atau kelewatan bertindak kerajaan untuk meneruskan pendakwaan menunjukkan sikap tidak ikhlas terhadap komitmen untuk melaksanakan reformasi institusi dan agenda membasmi rasuah.

“Malangnya, Malaysia kini semakin dikenali dengan amalan tadbir urus buruk yang mengakibatkan kerugian berbilion ringgit dana awam daripada 1MDB kepada projek LCS ini.

“Tindakan sudah dan terus akan diambil ke atas isu 1MDB. Berapa lama lagikah kita perlu menunggu untuk melihat pihak yang bertanggungjawab dihadapkan ke muka pengadilan kerana satu lagi kegagalan?” katanya dalam kenyataan hari ini.

Minggu lalu, Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) mendedahkan kontrak projek LCS diberikan kepada syarikat BNS (Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd) secara rundingan terus dengan kerajaan membayar RM6.083 bilion, namun, tiada sebuah kapal LCS disiapkan.

Dalam pada itu, TI-M meminta kerajaan tidak membuat bayaran lanjut bagi projek pembinaan LCS sehingga penghantaran kapal yang memenuhi spesifikasi kontrak dibuat dan setimpal dengan jumlah RM6.083 bilion yang dibayar sehingga kini.

Badan itu kemudian menggesa kerajaan menyiasat kontraktor dan subkontraktor LCS di semua peringkat bagi memastikan tiada pemalsuan syarikat (dummy companies) yang mendorong kepada penggelapan kontrak dengan nilai yang besar itu.

“Bagaimana projek LCS yang bermula pada 2013 boleh dibiarkan sehingga berdepan kegagalan perolehan dan tadbir urus yang besar untuk sekian lama, selain aspek pengawasan, tadbir urus yang baik dan akauntabiliti,” tegas TI-M.

TI-M juga menggesa tindakan tegas diambil jika didapati mana-mana penjawat awam cuai dalam melaksanakan tugas berkaitan projek, terutama tugas berkaitan pengawasan dan pelaporan.

“Prosiding jenayah perlu dimulakan terhadap sesiapa yang disyaki melakukan kesalahan di bawah pelbagai undang-undang di Malaysia, terutama suapan, rasuah dan salah guna jawatan di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM),” katanya. –UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya