fbpx

Lagi remaja hilang: keluarga bimbang remaja autisme hilang sejak Sabtu

NUR ELYANA ADRYNA hilang sejak Sabtu lalu selepas keluar rumah di Bandar Putra, Kulai.

KULAI: Seorang remaja perempuan berusia 16 tahun yang menghidap penyakit autisme dilaporkan hilang sejak empat hari lalu selepas bertindak keluar dari kediaman keluarganya di Bandar Putra, di sini.

Bapa tiri remaja berkenaan, Mohd. Azmi Abdullah, 40, memberitahu, hingga kini mereka gagal menemukan Nur Elyana Adryna Abdul Rahim, 16, sejak Sabtu lalu.

Keluarganya sudah mencari remaja berkenaan selama empat hari di pelbagai kawasan di sekitar Kulai dan Johor Bahru, namun, masih gagal menemukannya.

“Sabtu lalu, dia keluar sendirian tanpa membawa dokumen pengenalan diri ketika saya sedang tidur, manakala isteri keluar bekerja.

“Saya sangat risau kerana bimbang perkara buruk berlaku kepada dirinya. Kebiasaannya apabila kakak (Nur Elyana Adryna) keluar rumah, dia akan kembali pada sebelah petang, tetapi ini sudah empat hari.

“Sudah tentulah saya berasa risau kerana walaupun luarannya kelihatan seperti individu normal, namun, pemikirannya seperti seorang kanak-kanak yang berusia 10 tahun, dia tidak dapat berfikir secara matang,” katanya ketika dihubungi, di sini hari ini.

Mohd. Azmi berkata, pada hari Nur Elyana keluar rumah, dia menerima satu mesej dalam aplikasi WhatsApp daripada nombor yang tidak dikenali pada malam menyatakan supaya jangan mencari kakak lagi.

“Saya membuat laporan di Ibu pejabat Polis Daerah Kulai berhubung kehilangan kakak dan pesanan yang diterima itu.

“Saya sangat bimbang jika ada mana-mana pihak yang tidak bertanggungjawab ambil kesempatan atas kekurangan dirinya yang merupakan seorang pendiam dan lebih gemar untuk bercakap dan senyum sendirian.

“Kakak keluar tidak membawa apa-apa dokumen termasuk telefon bimbit, saya sudah ajarnya supaya mengingati nombor telefon saya dan ibunya jika berlaku apa-apa,” katanya yang turut menerima panggilan daripada orang tidak dikenali memaklumkan perkara buruk telah terjadi terhadap Nur Elyana yang merupakan anak kedua daripada tiga beradik.

Sehubungan itu, Mohd. Azmi berharap masyarakat dan pihak berkuasa dapat membantu mencari Nur Elyana.

“Sebelum ini, kakak pernah hilang setahun lalu, tetapi sekejap sahaja dan dia pulang semula ke rumah sebelum malam,” tambahnya. –UTUSAN ONLINE

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, Twitter, Instagram, Youtube, Telegram & TikTok

BERITA BERKAITAN

Menarik di Kosmo!