PUTRAJAYA: Mencari arah kiblat yang betul adalah amat penting kerana ia adalah antara syarat sah kepada ibadat solat.
Namun, akhir-akhir ini ada segelintir masyarakat yang menjadikan arah piring Astro sebagai arah kiblat untuk menunaikan solat.
Merungkai perkara itu, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan (PMWP) berkata, penggunaan piring astro dalam menetapkan arah kiblat didapati kurang tepat memandangkan kaedah ini tidak mempunyai sandaran yang kukuh.
Menurutnya, jika diteliti, kedudukan piring Astro di setiap lokasi adalah berbeza-beza dari kiblat sebenar.
“Kebanyakannya arah piring Astro bukan sahaja menghala ke arah barat 270° bahkan sedikit ke kiri (ke selatan),” katanya.
Katanya, tanggungjawab penentuan, semakan dan pengesahan arah kiblat bagi setiap masjid, surau dan premis awam di negara Malaysia dijalankan oleh Jabatan Mufti Negeri-Negeri.
Jelas PMWP, di Malaysia, arah kiblat adalah pada sekitar bearing N 67 W hingga N 70 W atau azimut 290° hingga 293°.
“Jika menggunakan kompas dengan penunjuk yang ringkas, ke kanan (ke Utara) sedikit dari arah Barat sekitar 20°,” katanya.
Katanya, pengguna boleh membuat semakan maklumat arah kiblat menggunakan Kalkulator Falak di alamat http://www.falak.unisza.edu.my/calc/ selain menggunakan kaedah fenomena Istiwa Adzam iaitu matahari di atas Kaabah.
Tambahnya, cara yang paling tepat untuk membuat semakan kiblat kediaman pada 28 Mei jam 5.16 petang atau 16 Julai jam 5.28 petang.
Penentuan arah kiblat berdasarkan kaedah sedia ada seperti penggunaan kompas, tongkat istiwa, bayang matahari, berpandukan arah matahari terbenam adalah lebih baik dan tepat berbanding piring Astro yang berbeza-beza di setiap lokasi. –UTUSAN











