Kerja pembersihan, penyelenggaraan Kota Lukut bermula selepas pelantikan kontraktor - Utusan Malaysia

Kerja pembersihan, penyelenggaraan Kota Lukut bermula selepas pelantikan kontraktor

KAWASAN sekitar Kota Lukut, Port Dickson yang yang jelas berada dalam keadaan terbiar dan dipenuhi dengan semak samun dan lalang yang tumbuh meliar.-UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PORT DICKSON: Kerja-kerja penyelenggaraan dan pemotongan rumput di Kota Lukut, di sini akan dijalankan dalam masa terdekat selepas selesai proses pelantikan kontraktor berkaitan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lukut, Choo Ken Hwa berkata, memang berlaku sedikit masalah berhubung kontrak kerja-kerja pemotongan rumput di kawasan tersebut pada tahun ini.

Keadaan itu, jelasnya, menyebabkan tapak kota bersejarah itu kini kelihatan terbiar dan tidak diuruskan dengan baik.

“Sebelum ini, saya meminta pihak Pegawai Kewangan Negeri untuk menyalurkan peruntukan bagi kerja-kerja pemotongan rumput serta penyelenggaraan lain di kawasan tersebut dan sebanyak RM50,000 setahun diterima dan disalurkan kepada Pejabat Daerah dan Tanah Port Dickson.

“Bagaimanapun, pada awal tahun ini, Pegawai Kewangan Negeri melihat peruntukan tersebut wajar disalurkan kepada pihak Jabatan Muzium, bagaimanapun, sehingga kini, kerja-kerja pemotongan rumput dan sebagainya masih tidak dijalankan.

“Selepas itu, saya membangkitkan perkara ini dan kemudian, pihak Pegawai Kewangan Negeri  menarik peruntukan itu dan menyalurkannya semula kepada Pejabat Daerah dan Tanah Port Dickson. Sekarang, dalam proses pelantikan kontraktor dan kerja-kerja pemotongan rumput dan penyelenggaraan akan dimulakan tidak lama lagi,” katanya hari ini.

Utusan Malaysia hari ini melaporkan salah satu produk pelancongan di daerah ini iaitu Kota Lukut yang kini berada dalam keadaan terbiar dan dipenuhi semak serta lalang.

Lebih menyedihkan, kota yang didaftarkan sebagai wa­risan di bawah Akta Warisan Kebangsaan (Akta 645) oleh Jabatan Warisan Negara pada 2006 kini menjadi sarang kaki botol, malah, difahamkan turut menjadi lokasi maksiat pasangan kekasih.

Tinjauan ke Kota Lukut yang seluas 4.2 hektar baru-baru ini mendapati keadaan sekitarnya terabai dengan rumput-rumput kering dan dahan pokok mati dibiarkan tanpa dibersihkan dan tinggalan sejarahnya seperti runtuhan tapak istana Raja Wok, tinggalan tembok susunan batu, kolah air dan perigi raja juga tidak terjaga dan ditutupi dengan rumput dan lalang yang tumbuh meliar.

Sementara itu, Ken Hwa berkata, pihaknya sentiasa mahu memastikan Kota Lukut sentiasa dikunjungi ramai kerana potensi besarnya sebagai salah satu produk pelancongan di daerah ini.

“Sebelum ini, saya juga mendapat peruntukan sebanyak RM400,000 bagi membina jalan baharu untuk naik ke bukit terletaknya Kota Lukut tersebut, sebelum itu, ia jalan tanah merah sahaja dan penuh dengan semak, jadi, jalan baharu dibuat memudahkan orang ramai ke kawasan berkenaan.

“Tahun lepas juga, peruntukan diperoleh sebanyak RM300,000 bagi membina beberapa buah wakaf dan laluan pejalan kaki, malah, saya setiap tahun meminta kerajaan negeri untuk memberikan peruntukan tambahan daripada peruntukan pelancongan negeri supaya kawasan Kota Lukut ini dapat dipulihara dan dipelihara termasuk sebagai produk pelancongan,” katanya lagi. –UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya