KOTA BHARU: Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) bersama Kerajaan Pahang giat menghijaukan semula kawasan Tasik Chini sebagaimana yang dikehendaki oleh Pertubuhan Pendidikan Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-bangsa Bersatu (UNESCO).
Menterinya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, susulan itu, semua aktiviti yang boleh menjejaskan kawasan tersebut sudah dihentikan.
“Kita diberi masa oleh UNESCO supaya memulihkan keadaan dan tindakan yang diambil termasuklah menghentikan segala kegiatan-kegiatan yang boleh menjejaskan keadaan di Tasik Chini.
“Tidak ada lagi kelulusan-kelulusan baharu untuk apa-apa usaha misalnya untuk mengambil pasir atau bahan-bahan galian yang ada di sekitar kawasan berkenaan,” katanya selepas merasmikan Kejohanan Olahraga Tahunan Peringkat Sekolah Tahun 2022 di Sekolah Kebangsaan (SK) Islah di sini, hari ini.
Utusan Malaysia hari ini melaporkan selepas semakan berkala pertama Tasik Chini sebagai Rezab Biosfera (BR) ditolak UNESCO, timbul cadangan supaya tasik berkenaan menarik diri daripada status tersebut.
Difahamkan, UNESCO memberikan tempoh sehingga 30 September ini untuk Malaysia menyerahkan pelan membaik pulih dan menambah baik Tasik Chini yang diisytiharkan BR pada 2009. –UTUSAN ONLINE










