Ke mana pergi lepasan SPM? - Utusan Malaysia

Ke mana pergi lepasan SPM?

Kerajaan perlu ada pangkalan data untuk mengetahui ke mana perginya lepasan SPM yang gagal melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi. - UTUSAN/ASLIZA MUSA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sebanyak 328,700 atau 44.8 peratus daripada anggaran 733,000 rakyat Malaysia yang menganggur membabitkan pe­lajar lepasan Sijil Pelajaran Ma­laysia (SPM).

Semakan data survei Tenaga Buruh 2021 oleh Jabatan Pe­rangkaan Malaysia itu turut menyenaraikan bilangan gra­­duan yang tidak bekerja se­ramai 92,300 orang diikuti le­pasan Penilaian Menengah Rendah (PMR) atau setaraf (69,400), pe­megang diploma (67,900) dan Ujian Pencapaian Sekolah Ren­dah (UPSR) serta lain-lain atau setaraf (52,700).

Selain itu, seramai 45,526 ca­lon yang menduduki pepe­riksaan SPM 2021 tidak layak mendapat sijil kerana gagal sa­lah satu mata pelajaran teras Ba­hasa Melayu atau Sejarah atau kedua-duanya sekali ter­masuk 10,681 calon tidak hadir menduduki peperiksaan itu ta­hun lalu menjadikan kese­luruhan yang tidak memiliki si­jil berjumlah 90,000 orang setakat ini.

Kumpulan berkenaan sebelum ini dikatakan tidak mahu menyambung pelajaran ke peringkat lebih tinggi kerana memilih untuk memasuki pa­saran pekerjaan, namun data ber­kenaan menimbulkan 1,001 persoalan berhubung ke mana pergi sebenarnya lepasan SPM tersebut.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Muhd. Fazreeen Ismail berkata, antara punca lain pengangguran lepasan SPM kerana silibus pem­belajaran di sekolah yang menekankan akademik semata-mata dan bukannya menerapkan kemahiran baharu yang akhirnya gagal menepati kehendak kebolehan pasaran pekerja.

Kemahiran baharu

“Jadi untuk kekal dalam pasaran kerja, kena ada kemahiran baharu. Maka konsep peningkatan kemahiran perlu dipupuk bermula dari sekolah dan bukan selepas tamat persekolahan.

“Untuk membantu lepasan SPM dalam pasaran kerjaya kena ada kemahiran tetapi ini bersifat semangat atau jangka pendek sahaja. Untuk masa panjang, perlu ada sinergi dan koordinasi antara Kementerian Pendidikan dan Kementerian Sumber Manusia supaya dapat kemahiran yang diperlukan bagi mengelakkan lambakan penawaran.

“Misalnya terdapat seorang lepasan SPM yang ada asas coding sehingga meraih pendapatan berbelas ribu, tetapi ramai belia lain yang tiada kemahiran itu,” katanya.

Pensyarah Pusat Kajian Pendidikan dan Kesejahteraan Komuniti Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Anuar Ahmad berkata, tidak cemerlang akademik menjadi faktor pengangguran lepasan SPM apabila keadaan itu menyebabkan mereka gagal menyambung pengajian.

Katanya, perkara berkenaan secara tidak langsung memberi kesan berantai apabila mereka tidak berpeluang mendapat pekerjaan ekoran tidak memenuhi syarat kelayakan akademik seperti mana ditetapkan oleh majikan dan syarikat.

“Selain itu, masalah kurang minat belajar juga menjadi faktor mereka tidak sambung pengajian apabila mereka melihat peluang ekonomi gig yang menjamin pendapatan lebih lumayan seperti dilaporkan dalam Utusan Malaysia sebelum ini. Keadaan itu menyebabkan tiada nilai tambah dalam aspek pembelajaran lepasan SPM.

“Oleh itu, kebanyakkan majikan masih menitik berat aspek akademik sebagai syarat utama pengambilan pekerja, jadi akhirnya masalah berantai sebegini menyumbang pengangguran lepasan SPM,” katanya.

Serius

Anuar menambah, masalah pengangguran lepasan SPM satu perkara serius apabila juga berpunca daripada persepsi mereka yang menyifatkan pembelajaran sebagai sesuatu yang membebankan.

Justeru, kata beliau, kerajaan khususnya Kementerian Pendidikan wajar menambah baik sistem pengajaran di sekolah dengan menjadikan pembelajaran sebagai menyeronokkan.

Katanya, persepsi pembelajaran sebagai satu membebankan telah mendorong lepasan SPM untuk tidak minat belajar dan mereka akhirnya tidak memperoleh keputusan peperiksaan yang cemerlang sekali gus tidak minat menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi.

“Tidak dinafikan ada lepasan SPM dapat peluang pekerjaan yang baik, tetapi bagaimana yang lain sehingga terdapat 328,700 penganggur,” ujarnya.

Bagi Ahli Parlimen Johor Bahru, Akmal Nasrullah Mohd. Nasir , beliau menggesa kerajaan mengenal pasti punca keciciran selain mencari pendekatan menyeluruh untuk membantu mereka bukan sahaja dalam akademik tetapi menambahbaik ekosistem pekerjaan menerusi satu usaha bersepadu serta transformasi struktur tenaga buruh.

Ini kata beliau, meskipun kadar pengangguran dalam kalangan graduan universiti meningkat, namun mereka masih mempunyai peluang dan ruang untuk meraih pekerjaan di pasaran.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN