Kanak-kanak 12 tahun rindu belaian kasih ibu kandung - Utusan Malaysia

Kanak-kanak 12 tahun rindu belaian kasih ibu kandung

BADIAH AFIFAH ABDULLAH menunjukkan Surat Daftar kelahirannya.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLUANG: Seorang remaja merayu bantuan orang ramai mencari ibu kandungnya yang terpisah sejak 12 tahun lalu.

Badiah Afifah Abdullah, 12, yang kini tinggal bersama-sama keluarga angkatnya di Taman Melati di Paloh, dekat sini berharap dapat mengenali raut wajah wanita yang melahirkannya.

Walaupun mendapat sepenuh kasih sayang daripada keluarga angkatnya, namun, hasrat untuk berjumpa dan memeluk erat ibunya sudah lama dipendam.

“Walaupun dalam hati terdetik rasa marah kerana sanggup menyerahkan saya kepada orang lain, namun, naluri kasih sayang seorang anak serta ikatan silaturahim tidak akan terputus.

“Justeru, saya berharap dapat bertemu dengarnya walaupun hanya sekejap kerana mungkin selepas itu kami boleh berhubung selagi hayat dikandung badan,” katanya kepada Utusan Malaysia, di sini.

Sementara itu, Keliwan Misran, 52, memberitahu, anak angkatnya itu diserahkan seorang lelaki yang hanya dikenali dengan nama Rahman di rumah mereka di Taman Melati pada 29 Jun 2010 selepas dilahirkan di sebuah hospital swasta di Kluang.

Ibu kepada anak angkatnya itu dikenali dengan nama Norahah Rahman dan ketika penyerahan berlaku, wanita itu baru berusia 17 tahun serta dipercayai tinggal di Felda Bukit Tongkat, Kluang.

“Walaupun usaha mengesan wanita itu sudah beberapa kali dilakukan, namun, tidak berhasil selain gagal menemui keluarganya.

“Berikutan penyerahan anak yang dilakukan tanpa sebarang dokumen, menyebabkan kami menghadapi kesukaran untuk memproses kad pengenalannya kerana sekarang sudah berusia 12 tahun,” katanya.

Keliwan berharap, ibu atau saudara kandung kepada anak angkatnya itu dapat berhubung terus dengan pihaknya menerusi talian 012-7779476 untuk mengatur pertemuan bagi memudahkan dokumentasi penyerahan anak angkat.

“Kegagalan melakukan proses penyerahan anak angkat dikhuatiri akan menyebabkan anak ini berdepan kesukaran untuk memiliki kad pengenalan, seterusnya banyak perkara tidak dapat disediakan dengan sempurna demi masa depannya,” katanya. –UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN