IPOH: Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, pertemuan beliau bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob malam tadi hanya untuk memberikan taklimat mengenai status gerak kerja parti.
Menurutnya, sudah menjadi rutin untuk beliau memberi taklimat mengenai status gerak kerja parti kepada Perdana Menteri setiap minggu.
“Saya beri taklimat (kepada Perdana Menteri). Semalam saya balik dari Melaka, dua hari lepas di Johor,” katanya dalam sidang akhbar selepas Pra Pelancaran Jentera Barisan Nasional (BN) Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) negeri Perak di sini semalam.
Sementara itu, mengulas pertemuan tergempar Ketua-Ketua UMNO bahagian dengan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi di Menara Dato’ Onn di Kuala Lumpur semalam, Mohamad berkata, ia hanya pertemuan biasa.
Mohamad turut mempersoalkan mengapa setiap kali pimpinan UMNO mengadakan perjumpaan atau berkumpul, ramai pihak membuat pelbagai spekulasi.
“UMNO ini, kita tidak boleh berjumpa, apabila berjumpa saja orang akan buat spekulasi macam-macam, tak boleh pula kami duduk bersama, orang cemburu hati dengan kita. Apa sebab, kenapa?
“Parti lain pun berkumpul juga hari-hari tidak ada pun yang tanya, apabila UMNO berkumpul adalah kata itu, ini,” katanya.
Terdahulu, semalam, beberapa pemimpin UMNO bertemu Ismail Sabri di kediaman Perdana Menteri di Kompleks Seri Perdana, Putrajaya pada pukul 6 petang.
Pertemuan beberapa pemimpin UMNO bersama Perdana Menteri itu berakhir kira-kira pukul 9 malam.
Malah, seramai 158 ketua bahagian UMNO juga hadir dalam mesyuarat tergempar bersama Ahmad Zahid.
Pemimpin-pemimpin UMNO berkata, hasil pertemuan itu ketua-ketua UMNO bahagian sebulat suara mahu Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) segera diadakan.
Antaranya, Ketua UMNO Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Yunos berkata, desakan itu akan disampaikan kepada Ismail Sabri oleh Ahmad Zahid dalam mesyuarat tertinggi parti dalam masa terdekat. –UTUSAN