Jumlah pekerja wanita Malaysia masih rendah - PM -

Jumlah pekerja wanita Malaysia masih rendah – PM

ISMAIL SABRI YAAKOB ketika menghadiri Sambutan Hari Wanita Ke-60 anjuran Majlis Kebangsaan Pertubuhan-Pertubuhan Wanita (NCWO) di Dewan Perdana Felda di sini hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kadar penyertaan tenaga buruh wanita di negara ini masih rendah jika dibandingkan dengan wanita di Asia Tenggara iaitu 55.5 peratus pada 2021.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kadar ini adalah rendah jika dibandingkan dengan negara-negara jiran seperti Singapura sebanyak 69.7 peratus dan Thailand sebanyak 66.8 peratus.

“Negara kini berdepan cabaran utama apabila populasi perempuan pada tahun 2020 adalah 47.7 peratus iaitu hampir separuh daripada populasi Malaysia, sedangkan kadar penyertaan tenaga buruh wanita pada tahun 2021 adalah 55.5 peratus sahaja.

“Kadar enrolmen wanita dalam semua peringkat pendidikan sama ada rendah, menengah atau tertiari adalah tinggi, tetapi, bagi aspek kadar penyertaan dalam pasaran buruh, penglibatan wanita adalah rendah.

“Sehubungan itu, pada Mesyuarat Majlis Sosial Negara, kerajaan bersetuju mewujudkan Gender Focal Point dan Gender Focal Team di setiap kementerian dan agensi sebagai usaha mengarus perdana gender dalam setiap perancangan, pelaksanaan dasar dan inisiatif kerajaan,” katanya ketika menyampaikan ucapan Sambutan Hari Wanita Ke-60 anjuran Majlis Kebangsaan Pertubuhan-Pertubuhan Wanita (NCWO).

Majlis itu dihadiri oleh Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Ismail Sabri berkata, kerajaan melaksanakan pelbagai program dan inisiatif yang dimainkan oleh pelbagai pihak seperti institusi-institusi akademik, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), sektor awam dan banyak lagi untuk memperkasakan wanita di negara ini.

“Sebelum ini, saya turut mengarah agar penyertaan golongan wanita dalam syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat berkaitan pelaburan kerajaan (GLIC) sekurang-kurangnya 30 peratus sebagai Ahli Lembaga Pengarah menjelang mesyuarat agung tahunan pada 2023.

“Alhamdullilah, sehingga kini, sebanyak 210 daripada 900 syarikat Sendirian Berhad telah mempunyai lebih 30 peratus wanita dalam lembaga pengarah syarikat,” katanya.

Selain itu, katanya, seramai 1,264 usahawan wanita menerima manfaat melalui program TEKUNNita di bawah TEKUN Nasional yang melibatkan peruntukan sebanyak RM19.9 juta bagi 2022.

“Seramai 10,496 wanita dalam kalangan B40 pula telah menerima manfaat Program MyKasih Kapital bagi memberi bantuan asas modal perniagaan secara one-off sebanyak RM500 bagi menggalakkan wanita berniaga,” katanya.

Katanya, kerajaan juga akan menambah baik dan memperhalusi dasar, perundangan serta program yang lebih peka gender termasuk usaha pembaharuan dalam penyemakan Dasar Wanita Negara dan penggubalan Rang Undang-undang yang prihatin gender.

Misalnya, kata beliau, Rang Undang-Undang (RUU) Anti Gangguan Seksual 2021 telah diluluskan pada 20 Julai 2022 dan Dewan Negara pada 11 Ogos 2022, manakala RUU Jenayah Intip dan Hendap (Anti-Stalking Law) telah dibentang untuk bacaan pertama di Dewan Rakyat pada 4 Ogos 2022.

“Pelan Tindakan Menangani Perkahwinan Bawah Umur juga akan diteruskan dengan yang terkini, Kedah telah menggubal semula undang-undang perkahwinan Islam yang memberikan perlindungan kepada kumpulan rentan dan lemah.

“Perkara yang sama diharap dapat diikuti di negeri-negeri yang lain agar permasalahan kahwin bawah umur ini dapat diselesaikan,” katanya. –UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya