JOHOR BAHRU: Kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM670,000 untuk kerja-kerja penambahbaikan beberapa fasiliti awam di Hospital Sultan Ismail (HSI), di sini.
Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, peruntukan itu akan diguna untuk menambah baik tempat letak kenderaan, membaiki bumbung dan menambah tempat duduk awam.
Menurutnya, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar turut mempertimbangkan untuk menambah bilangan jururawat di hospital berkenaan.
“Bagi memudahkan urusan pesakit dan pelawat, kerajaan negeri telah meluluskan peruntukan RM500,000 bagi membina tempat letak kereta dalam kawasan hospital.
“Sebanyak RM95,000 juga diluluskan bagi menggantikan bumbung polikarbonat di hadapan lobi hospital yang tercabut akibat ribut pada 14 Ogos lalu.
“Pesakit dan pelawat juga akan mempunyai tempat duduk yang lebih selesa apabila kerusi berangkai ditambah dengan kos RM75,000,” katanya selepas melakukan lawatan ke HSI, di sini hari ini.
Onn Hafiz berkata, cadangan penambahan jumlah jururawat adalah bertujuan untuk mengurangkan beban kerja kakitangan sedia ada.
“Sementara menunggu bilangan pesakit reda apabila hospital baharu di Pasir Gudang siap dibuka pada lewat 2024, kerajaan Pusat bercadang untuk menambah bilangan jururawat di HSI,” katanya. – UTUSAN










