Johor bina, naik taraf PPR - Onn Hafiz - Utusan Malaysia

Johor bina, naik taraf PPR – Onn Hafiz

ONN HAFIZ GHAZI (kanan) mengadakan pertemuan dengan Reezal Merican (kiri) bagi membincangkan isu-isu perumahan di Johor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Johor akan membina dan menaik taraf Projek Perumahan Rakyat (PPR) di seluruh negeri dalam usaha meningkatkan kesejahteraan masyarakat, khususnya membabitkan aspek kediaman golongan B40.

Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, antara perancangan termasuk pembinaan sebuah PPR baharu di Larkin bagi menampung permintaan selain melaksanakan kerja-kerja penyelenggaraan, pemasangan lif dan mengecat semula PPR.

“Kerajaan negeri berterima kasih kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican atas peruntukan RM13 juta bagi menyelenggara PPR, pemasangan lapan lif baharu di PPR Kempas Permai dengan kos RM10.3 juta serta RM2.4 juta bagi mengecat PPR tersebut.

“Pada masa sama, Johor mempunyai 13 PPR serta tujuh Rumah Sewa Kerajaan (RSK) dan telah memohon peruntukan yang lebih bagi menyelenggara dan mengecat semula bangunan-bangunan tersebut,” katanya selepas berjumpa Reezal Merican di Putrajaya.

Onn Hafiz berkata, penyediaan rumah mampu milik akan diseragamkan dengan penubuhan semula Majlis Perumahan Mampu Milik Negara yang dipengerusikan Perdana Menteri serta dianggotai oleh Menteri Besar dan Ketua Menteri.

“Majlis ini akan mengambil maklum stok rumah tersedia; mengadakan indeks mampu milik negara; menyediakan pembiayaan kepada pembeli serta memastikan pembinaan rumah berkualiti yang berdaya huni.

“Kami turut menyentuh tentang pengurusan sisa pepejal di negeri Johor yang melibatkan khidmat SWM dan SWCorp, serta cadangan Eco Waste oleh Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG) bagi mengurangkan lagi buangan sampah dan menggalakkan kitar semula.

“Semoga segala permohonan dan perancangan di peringkat negeri dan persekutuan bagi menyediakan perumahan serta perkhidmatan kepada rakyat Johor akan dapat dilaksanakan bagi menjamin kesejahteraan kehidupan rakyat negeri ini pada masa akan datang,” ujarnya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya