JHEAIK pantau kumpulan Hadi Minallah, kenal pasti pengikut di Kedah - Utusan Malaysia

JHEAIK pantau kumpulan Hadi Minallah, kenal pasti pengikut di Kedah

TULAR video pengikut wanita disentuh dalam konvokesyen kumpulan Hadi Minallah di Langkawi Jun lepas.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kedah (JHEAIK) memantau gerakan kumpulan Hadi Minallah dan pengikutnya di negeri ini susulan satu perhimpunan pertubuhan itu diadakan di Langkawi, Jun lepas.

Pengarahnya, Datuk Mohd. Yusri Md Daud berkata, siasatan awal mendapati pertubuhan dari Indonesia ini tidak aktif di Kedah dan sekadar menggunakan Langkawi sebagai lokasi perhimpunan berkenaan.

“Kumpulan ini berasal dari Indonesia dan berpusat di Singapura. Belum ada cawangan di Kedah mahupun Langkawi. Majlis berkenaan menghimpun semua ahlinya dari negeri lain juga.

“Bagaimanapun, kita memantau kegiatan mereka ini dan akan mengambil tindakan susulan,” katanya di sini hari ini.

Katanya, JHEAIK akan bekerjasama dengan pihak polis untuk mengenal pasti penduduk negeri ini yang terlibat dengan pertubuhan tersebut.

“JHEAIK juga menasihatkan agar orang ramai menjauhi kumpulan berkenaan kerana dikhuatiri terpesong daripada ajaran Islam,” katanya.

Tular sejak semalam video memaparkan tindakan beberapa wanita yang berniqab memeluk dan mencium seorang lelaki dipercayai ketua kumpulan ini dalam satu majlis konvokesyennya di Langkawi.

Semalam, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dilaporkan membuat laporan kepada Kementerian Dalam Negeri dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia supaya menyekat serta mengambil tindakan terhadap kumpulan berkenaan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Idris Ahmad turut meminta supaya orang ramai tidak terpengaruh dengan kumpulan berkenaan yang aktif menyebar dakyah mereka melalui media sosial. –UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya