Jentera SWM kibar Jalur Gemilang, semarak semangat patriotik - Utusan Malaysia

Jentera SWM kibar Jalur Gemilang, semarak semangat patriotik

SERAMAI 1,050 jentera pembersihan di bawah kendalian SWM Environment Sdn. Bhd. (SWM Environment) mengibarkan Jalur Gemilang bermula hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Bagi menyemarakkan sambutan Bulan Kemerdekaan, sebanyak 1,050 jentera pembersihan di bawah kendalian SWM Environment Sdn. Bhd. (SWM Environment) mengibarkan Jalur Gemilang bermula hari ini.

Pengurus Besar Korporat SWM Environment, Mohd. Norlisam Mohd. Nordin berkata, bagi memeriahkan lagi Kempen Kibar Jalur Gemilang itu, 14 depoh dan pejabat operasinya di seluruh negeri ini turut mengibarkan bendera kebangsaan.

Beliau berkata, langkah tersebut bagi menyemarakkan lagi semangat patriotik dalam kalangan pekerjanya untuk menjadikan Malaysia sebuah negara yang bersih, indah dan sejahtera. 

“Seiring dengan tema Hari Kebangsaan pada tahun ini iaitu Keluarga Malaysia Teguh Bersama, SWM Environment menyeru kerjasama dan penglibatan masyarakat untuk bersama-sama menguruskan sisa pepejal secara mampan.

“Ini sekali gus mencapai matlamat Dasar Kebersihan Negara dan aspirasi Kempen Johor Bersih yang digagaskan oleh pihak kerajaan,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Sambutan Hari Pekerja Pembersihan dan Pelancaran Kempen Kibar Jalur Gemilang di Taman Rekreasi Masjid Bandar Sultan Iskandar, Bandar Dato’ Onn, di sini hari ini.

Jentera pembersihan yang terlibat mengibar Jalur Gemilang ialah lori kompaktor, lori pembersihan berjentera (waterjet), lori pembersihan jalan berjentera (Road Sweeper) dan lori Roll-On Roll-Off (RORO).

Mohd. Norlisam memberitahu, usaha itu antara lain bagi menghargai jasa 4,500 pekerja pembersihan yang bertungkus-lumus memastikan kebersihan negeri ini dijaga mengikut jadual.

“Hari Pekerja Pembersihan yang disambut pada setiap 17 Jun memberi peluang kepada masyarakat untuk mengenali dan mengiktiraf peranan anggota SWM Environment dalam perkhidmatan pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam.

“Mereka bukan sahaja menguruskan kutipan sisa pepejal, malah, turut melakukan kerja pembersihan awam seperti pembersihan longkang, sapuan jalan dan pemotongan rumput serta beberapa skop kerja lain,” katanya. –UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya