fbpx

JDT berpesta gol, mara ke final Piala FA penuh bergaya

Arif Aiman berjaya melepasi pemain pertahanan Penang FC T. Saravanan pada perlawanan separuh akhir Piala FA di Stadium Sultan Ibrahim.-UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI

ISKANDAR PUTERI: Johor Darul Ta’zim (JDT) menepati ramalan untuk melangkah ke pentas akhir Piala FA selepas berpesta gol ketika menewaskan Penang FC 6-1 di Stadium Sultan Ibrahim, di sini, sebentar tadi.

Kemenangan itu membolehkan pengendali baharu JDT, Hector Bidoglio semakin hampir menghadiahkan kejuaraan pertama buat skuad Harimau Selatan yang kali terakhir menjulang Piala FA pada 2016.

Pada perlawanan itu, Arif Aiman Hanapi menamatkan kemarau golnya dengan bergaya apabila mencetak hatrik pada babak kedua perlawanan.

Di atas kertas, kelebihan memihak kepada pasukan tuan rumah untuk mara ke pentas akhir memandangkan prestasi skuad Harimau Kumbang yang terumbang-ambing sejak akhir-akhir ini selain menghuni tangga tercorot Liga Super.

Pada awal permainan, pasukan pelawat dilihat kental mengekang kemaraan lawan dengan menutup ruang buat juara Liga Super lapan kali itu bagi memperoleh gol awal.

Namun, disiplin yang ditunjukkan benteng pertahanan skuad bimbingan Zainal Abidin Hassan itu akhirnya runtuh setelah JDT berjaya memecahkan kebuntuan hasil jaringan Bergson Da Silva.

Gol pada minit ke-19 itu berpunca daripada rembatan deras Fernando Forestieri yang terbias setelah terkena tiang gol tepat ke arah Bergson yang melepaskan rembatan deras menerjah jaring lawan.

Lima minit berselang, gawang Penang dikawal penjaga gol, Hafizul Hakim Khairul Nizam Jothy bolos lagi, kali ini menerusi jaringan Forestieri yang mendapat umpanan cantik Shane Lowry pada minit ke-24.

Ketiadaan bintang skuad Harimau Kumbang, Endrick Dos Santos di bahagian tengah jelas dirasai apabila JDT bermaharajalela di tengah padang dan berterusan melancar serangan.

Bersambung babak kedua, Arif Aiman tidak menunggu lama untuk memahatkan nama dalam senarai penjaring ketika perlawanan berusia tiga minit, apabila memanfaatkan umpanan Forestieri dengan melepaskan rembatan leret menewaskan Hafizul.

Forestieri sekali lagi berjaya mengesan Arif Aiman di bahagian sayap dengan melakukan hantaran jauh mencari pemain lincah itu bagi mencetak gol kedua peribadinya tiga minit kemudian.

Tersentak dengan jaringan itu, Penang mengatur serangan dan berjaya memperolehi gol menerusi tandukan Lucas Da Silva pada minit ke-55.

Begitupun, JDT tidak menunggu lama untuk menggandakan jaringan pada minit ke-62 menerusi Arif Aiman selepas percubaannya dalam kotak penalti terkena Ahmad Sukri Hamid sebelum bola menerjah gawang lawan.

Sebelum wisel penamat dibunyikan pengadil perlawanan, pemain gantian, Syahmi Safari menambah derita pelawat apabila meledak gol keenam untuk melengkapkan malam pesta gol di depan penyokong sendiri.

Lawan JDT di pentas akhir akan ditentukan esok melibatkan pertembungan antara Terengganu FC menentang Selangor FC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin.- UTUSAN ONLINE

BERITA BERKAITAN

Menarik di Kosmo!