PETALING JAYA: Jasa bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kepada negara tidak akan terpadam walaupun beliau dijatuhkan hukuman penjara.
Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan berpandangan, walau apa jua keputusan mahkamah, ia tidak akan sedikit pun menjejaskan sumbangan Najib sepanjang beliau digelar pemimpin.
“Apapun perjalanan perundangan serta segala yang telah dibentang dalam kes ini, ia tidak sesekali memadamkan jasa dan pencapaian Najib kepada negara dan parti yang pernah beliau pimpini,” katanya dalam kenyataan.
Beliau mengakui, sebagai orang UMNO, beliau sedih dengan apa yang telah berlaku, terutamanya kepada Najib selaku seorang pemimpin yang telah banyak memberikan jasa kepada negara dan parti UMNO.
“Saya pasti ini situasi yang tidak terbayang cabaran dan kepedihannya. Saya mendoakan agar beliau dan keluarga diberikan segala kekuatan menghadapi ujian besar ini,” katanya.-UTUSAN ONLINE