JAS lulus laporan EIA bukan projek - Utusan Malaysia

JAS lulus laporan EIA bukan projek

Wan Abdul Latiff Wan Jaffar
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Sekitar (JAS) hanya meluluskan laporan Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling (EIA) dan tidak diberi kuasa untuk meluluskan sebarang projek pembangunan.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Pengarahnya, Wan Abdul Latiff Wan Jaffar berkata, sebaik meluluskan EIA, mana-mana pemaju perlu mematuhi perjalanan projek mengikut ditetapkan di bawah Perintah EIA 2015.

Menurut beliau, Laporan EIA tersebut perlu dikemukakan kepada JAS sebagaimana keperluan di bawah Seksyen 34A Akta Kualiti Alam Sekeli­ling 1974.

Beliau berkata, setiap projek pembangunan tertakluk kepada keperluan menyediakan laporan EIA, sebagai contoh kawasan tanah melebihi 50 hektar untuk membangunkan kawasan perumahan komersil, aktiviti penebus gunaan tanah, pembinaan loji rawatan terma, pembalakan, pelabuhan, pertanian, empangan dan aktiviti perindustrian.

Beliau menjelaskan, laporan tersebut akan menilai apakah impak diramalkan berlaku sekiranya projek tersebut diteruskan termasuk dari segi kesan pencemaran selain mengenal pasti apakah langkah kawalan dan mitigasi oleh penggerak projek.

“Sekiranya JAS berpuas hati dengan ramalan impak dan langkah kawalan dibuat mencukupi, barulah JAS meluluskan laporan EIA tersebut dan hendaklah selaras dengan rancangan pemajuan (zooning) sama ada ia berstatus pemba­ngunan bercampur atau pertanian.

“Apabila lulus, kita keluarkan kelulusan laporan EIA, kita ada syarat dari segi langkah kawalan pencemaran, (dan laporan EIA itu) kita bagi kepada penggerak projek dan pihak yang meluluskan sama ada kerajaan negeri atau pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Jadi terpulang kepada mereka untuk meluluskan atau tidak projek tersebut. JAS ha­nya meluluskan laporan EIA, bukan projek tersebut,” kata­nya ketika ditemui di pejabatnya semalam.

Laporan

Dalam pada itu, Wan Abdul Latiff berkata, kira-kira 4,058 laporan EIA diterima JAS sejak 2019 sehingga tahun lalu untuk dinilai bagi memastikan pembangunan secara lestari dilaksanakan dengan mengambilkira aspek pemuliharaan dan pemeliharaan alam sekitar.

Kata beliau, setelah laporan EIA diluluskan JAS, penggerak projek tertakluk mematuhi syarat-syarat kelulusan EIA sepenuhnya bagi memastikan projek yang dilaksanakan berjalan dengan baik dan semua langkah-langkah kawalan yang dicadangkan laporan EIA dilaksanakan penggerak projek.

Beliau berkata, penguatkuasaan secara lapangan dilaksa­nakan JAS secara berkala bagi memastikan pematuhan kepada syarat-syarat dikeluarkan.

Untuk tujuan itu, katanya, sejumlah 1,099 siasatan penguatkuasaan dijalankan pada tahun lalu untuk mengenal pasti status pembangunan dan pematuhan projek-projek EIA.

“Daripada siasatan tersebut, tindakan penguatkuasaan me­rangkumi 322 Notis Arahan dan 187 kompaun, manakala 57 kes telah didakwa di mahkamah kerana tidak mematuhi syarat-syarat kelulusan EIA.

“Selain itu, sebanyak 16 Pe­rintah Larangan bagi aktiviti yang ditetapkan di bawah Seksyen 34AA, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 juga dikeluarkan bagi kesalahan serius berkaitan pematuhan EIA,” katanya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN