Jalur Gemilang 'ceriakan' Kampung Bendahara - Utusan Malaysia

Jalur Gemilang ‘ceriakan’ Kampung Bendahara

HASSRI ABD. KADIR dengan penuh semangat mengibarkan bendera Jalur Gemilang di halaman rumahnya sebagai persiapan menyambut Hari Kemerdekaan Ke-65 di Kampung Bendahara, Johor Bahru.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Orang ramai yang berkunjung ke Kampung Bendahara pastinya terpegun dengan keindahan setiap rumah yang dihiasi Jalur Gemilang.

Lebih menarik, penghuni berlumba-lumba menghiasi rumah mereka dengan mengibarkan Jalur Gemilang dalam pelbagai bentuk.

Inilah uniknya Kampung Bendahara yang terletak kira-kira lapan kilometer dari pusat bandar raya Johor Bahru.

Seorang penduduk, Hassri Abdul Kadir, 56, berkata, pada tahun ini dia akan menghias rumahnya dengan 250 helai Jalur Gemilang.

Menurutnya, setiap kali sambutan Bulan Kemerdekaan, rumahnya yang dihiasi dengan bendera kebangsaan itu akan menjadi tarikan orang ramai.

Lebih membanggakan, Hassri sering memenangi pertandingan menghias kediaman dengan Jalur Gemilang sama ada di peringkat kampung dan negeri.

“Saya mula memasang bendera Jalur Gemilang ini sejak tujuh tahun lalu setiap kali menjelang bulan Ogos hingga 16 September Hari Malaysia,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Hassri yang juga Ahli Jawatankuasa Kawasan Rukun Tetangga (KRT) sebelum ini pernah menghias Jalur Gemilang dengan membuat beberapa replika, antaranya meriam, wau dan bangunan berkembar KLCC.

Tinjauan di sekitar Kampung Bendahara, Kampung Belantik dan Kampung Tengah mendapati banyak rumah sudah mula menghias dan mengibarkan bendera Malaysia dan negeri Johor.

Menjelang 31 Ogos ini, semakin banyak kediaman akan mengibarkan Jalur Gemilang hingga Sambutan Hari Malaysia 16 September depan sebagai menzahirkan perasaan cinta terhadap negara. –UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN