KLUANG: Jalan Parit Raja-Ayer Hitam-Kluang yang merupakan antara laluan merekodkan kemalangan tertinggi, khususnya semasa musim perayaan kini dinaik taraf.
Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, antara punca sering berlaku kemalangan di jalan raya tersebut adalah berikutan tidak mempunyai bahu jalan, median dan pusingan U.
Katanya, projek Fasa 3A yang sedang dalam pembinaan dan menelan kos sebanyak RM219 juta dari Parit Raja hingga ke Ayer Hitam dijangka siap pada Oktober 2024.
“Projek Fasa 3B yang juga kesinambungan daripada projek Fasa 3A akan melibatkan kos RM385.13 juta bermula dari Ayer Hitam hingga ke persimpangan Stadium Kluang.
“Jalan ini merupakan laluan utama tanpa tol yang menghubungkan Daerah Batu Pahat, Kluang dan Mersing melibatkan kerja-kerja membina bahu jalan, median, pusingan U dan kerja-kerja berkaitan,” katanya selepas menghadiri Jelajah FTRoadpedia Zon Selatan 2.0 di Stesen Keretapi Kluang, hari ini.
Projek itu dilaksanakan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12) yang bagi mengurangkan kemalangan maut di sepanjang jajaran tersebut.
“Cadangan pembinaan naik taraf Fasa B ini akan dikemukakan ke Unit Perancangan Ekonomi (EPU) pada tahun depan dan dalam sama kerajaan negeri diharapkan turut memberi keutamaan terhadap jalan ini.
“Tambahan RM600,000 juga diluluskan untuk menambah baik lampu jalan di Jalan Persekutuan FT050 ini bagi memastikan pelbagai aspek terutamanya aspek keselamatan kepada pengguna,” katanya.
Dalam pada itu, Fadilah berkata, hasil daripada Jelajah FTRoadpedia Zon Selatan 2.0 sebanyak RM150,611,678 diluluskan untuk peruntukan penyelengaraan berkala.
“Jumlah melibatkan masing-masing RM66,081,678 bagi Negeri Pahang, RM23,630,000 – Negeri Sembilan dan Johor RM60,900,000,” katanya. –UTUSAN ONLINE