Ibu tunggal enam anak bimbang hilang tempat berteduh - Utusan Malaysia

Ibu tunggal enam anak bimbang hilang tempat berteduh

FARAH Asyikin Ukas bersama lima daripada enam orang anaknya di rumah sewa mereka di Bandar Baru Bukit Mentok, Kemaman, hari ini. - UTUSAN/NIK NUR IZZATUL HAZWANI NIK ADNAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEMAMAN: Seorang ibu tunggal yang memiliki enam orang anak bimbang kehilangan tempat berteduh berikutan tidak mampu membayar sewa rumahnya di Bandar Baru Bukit Mentok, dekat sini, sejak sebulan lalu.

Lebih menyedihkan, Farah Asyikin Ukas, 40, yang turut mempunyai seorang anak orang kelainan upaya (OKU) kategori fizikal berusia 13 tahun juga tidak mempunyai pendapatan tetap bagi menyara anaknya yang berusia lima bulan hingga 20 tahun.

Menurutnya, dia memikul tanggungjawab sebagai ketua keluarga selepas berpisah dengan suaminya sejak empat bulan lalu.

“Sekarang ini, saya hanya menunggu masa untuk keluar dari rumah kerana tuan rumah memberi tempoh sehingga 15 Ogos ini untuk membayar sewa dan memang saya tidak mampu,” katanya ketika ditemui di Bandar Baru Bukit Mentok, di sini semalam.

Farah Asyikin memberitahu, dia sekarang hanya bekerja sebagai anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) secara sambilan dengan purata pendapatan sekitar RM1,000 sebulan bergantung kepada tugasan.

Selain itu, tambahnya, dia juga memerlukan perbelanjaan kira-kira RM600 sebulan untuk membeli lampin pakai buang serta susu anaknya yang OKU dan berusia lima bulan.

“Setiap kali dapat gaji, saya akan agihkan untuk membeli barangan keperluan anak terlebih dahulu. Adakalanya saya terpaksa berlapar kerana tidak mempunyai makanan, namun saya tidak kisah, asalkan anak saya dapat makan,” ujarnya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita dan Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat pula berkata, beliau telah berbincang dengan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) untuk memberi bantuan sewa rumah sebanyak RM500 sebulan serta elaun sara diri.

“Saya juga akan berbincang dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat untuk diluluskan bantuan bulanan kepada anak-anaknya bagi meringankan beban ibu tunggal ini,” katanya.

Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan boleh menyalurkan bantuan di akaun Maybank Farah Asyikin iaitu 163029029032 atau menghubunginya di talian 013-5780603. –UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya