Gagal ke IPT ceburilah bidang reka cipta - Utusan Malaysia

Gagal ke IPT ceburilah bidang reka cipta

Bagi calon SPM yang gagal menyambung pengajian ke IPT dicadang menceburi bidang reka bentuk yang boleh menjana pendapatan lumayan. - Gambar hiasan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kumpulan pelajar yang tercicir akademik, sebenarnya berpotensi menjana pendapatan lebih tinggi jika mereka mendalami kemahiran mencipta peralatan berteknologi.

Timbalan Pengarah Urusan Zul Design Autotronic, Muhammad Asif Zulkifli berkata, kumpulan tersebut tidak seharusnya berputus asa jika gagal diserap ke institusi pengajian tinggi (IPT) kerana mereka boleh menceburi kursus dan peluang keusahawanan dalam bidang reka cipta yang mempunyai potensi luas.

“Di Zull Design Autotronic, kami melahirkan ramai usahawan dalam bidang reka cipta. Sebenarnya bidang ini mempunyai potensi luas, sama ada dalam atau luar negara.

“Ini kerana, sebagai pencipta, kita tidak tertakluk kepada kuasa pasaran, malah kitalah sebenarnya yang menjadi kuasa kepada pasaran. Ini kerana sesuatu rekaan kita itu merupakan pelopor kerana tidak ada rekaan sedemikian rupa sebelum ia dicipta,” katanya kepada Ming­guan Malaysia semalam.

Utusan Malaysia semalam melaporkan hanya 137,813 daripada kira-kira 400,000 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021 yang ditawarkan menyambung pelajaran ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan institusi latihan kemahiran awam (ILKA) bagi sesi akademik 2022/2023.

Berikutan itu, kata Muhammad Asif, pelajar lepasan SPM yang mengasah kemahiran menerusi reka cipta berupaya menjana pendapatan tinggi melalui bidang tersebut.

“Misalnya, kita tidak tertakluk pada sebut harga pihak lain, kerana sebagai pencipta, kita yang bertanggungjawab menentukan sebut harga dan kos penghasilan sesuatu produk.

“Ini kerana produk yang kita cipta itu lazimnya merupakan yang pertama, jadi kita yang mempunyai hak menentukan kos dan upah penghasilannya.

“Namun pokoknya, perlulah rajin berusaha mengembangkan idea dan mencari pasaran,” katanya.

Menjelas lanjut, kata beliau, terdapat banyak saluran untuk pelajar lepasan SPM yang tercicir dari sudut akademik, untuk menceburi bidang keusahawanan reka cipta.

“Mereka juga boleh rujuk kepada Kementerian Pengajian Tinggi bagi mendapatkan maklumat tentang kursus-kursus keusahawanan reka cipta, atau menghubungi pemain-pemain industri untuk mengetahui tentang peluang menceburi bidang tersebut ,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN