Gadis 19 tahun hilang dari asrama sekolah sejak 8 Ogos -

Gadis 19 tahun hilang dari asrama sekolah sejak 8 Ogos

NUR FAIDATUL ATMA MOHAMAD DESA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADANG BESAR: Seorang remaja perempuan berusia 19 tahun yang juga merupakan calon Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dipercayai hilang selepas dilaporkan tidak pulang ke rumah dari asrama sebuah sekolah di sini sejak 8 Ogos lalu.

Kehilangan Nur Faidatul Atma Mohamad Desa mula diketahui ahli keluarganya setelah menerima kunjungan guru sekolah berkenaan semalam yang memaklumkan bahawa gadis itu tidak menghadiri kelas sejak beberapa hari lalu.

Malah, gadis tersebut juga pernah menyatakan hasrat untuk berhenti belajar sebelum ini.

Kakaknya, Nur Adlin Farida, 25, berkata, guru sekolah tersebut juga memaklumkan Nur Faidatul keluar dari asrama sejak 8 Ogos lalu dengan memberi alasan untuk pulang ke rumah ibu saudaranya di Felda Mata Ayer kerana ingin bekerja di sebuah kilang di Pulau Pinang.

“Sejak ibu dan ayah bercerai, adik kami menetap dengan ibu saudara memandangkan ayah juga sakit dan tidak dapat menguruskan proses persekolahannya.

“Ahli keluarga juga sememangnya tidak mengetahui mengenai hasrat Nur Faidatul untuk berhenti sekolah, malah, dia juga tidak berhubung dengan kami selepas keluar daripada asrama pada tarikh berkenaan.

“Kami hanya tahu mengenai kehilangan itu apabila pihak sekolah datang membawa surat untuk ditandatangani oleh ahli keluarga,” katanya di sini hari ini.

Menurut Nur Adlin, seluruh ahli keluarga sangat terkejut dengan perkhabaran dimaklumkan pihak sekolah itu memandangkan mereka beranggapan Nur Faidatul masih berada di asrama dan meneruskan pembelajaran seperti biasa.

Ujarnya, Nur Faidatul yang merupakan anak bongsu dari tiga beradik itu juga tidak menunjukkan sebarang perubahan sewaktu hadir ke kenduri di rumah ibu saudara mereka sehari sebelum dia dilaporkan keluar dari asrama berkenaan.

“Saya juga dimaklumkan oleh rakan-rakannya bahawa Nur Faidatul ada menunjukkan sikap tidak banyak bergaul dan bercakap seperti kebiasaan sejak kebelakangan ini,” katanya. 

Dalam pada itu, Nur Adlin berkata, ahli keluarga juga cuba menghubungi Nur Faidatul beberapa kali sejak semalam, namun, telefon bimbit miliknya itu dimatikan.

Susulan itu, Nur Adlin berkata, satu laporan turut dibuat di Balai Polis Beseri di sini awal pagi tadi bagi memohon bantuan untuk mengesan remaja perempuan itu. 

“Kami melakukan pelbagai usaha bagi mengesan adik kami yang hilang sejak seminggu lalu namun, sehingga kini masih gagal ditemukan,” katanya.

Tambahnya, mana-mana pihak yang mempunyai maklumat mengenai Nur Faidatul boleh berhubung terus dengannya di talian 017-4637119 atau ibu saudara mereka di nombor 012-4291242.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Padang Besar, Asisten Komisioner Mohd. Shokri Abdullah mengesahkan mengenai kejadian itu dan siasatan dijalankan mengikut kes Orang Hilang (OH).

“Kejadian  itu disedari ahli keluarga setelah pihak sekolah berkunjung ke rumah remaja berkenaan selepas dia dilaporkan tidak hadir ke sekolah sebelum ini,” katanya. –UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN