PETALING JAYA: Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) perlu menjadi lebih daripada sekadar program memupuk semangat patriotisme sebaliknya ke arah mampu membantu memperkasakan pertahanan negara.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, bekas Timbalan Menteri Pertahanan, Liew Chin Tong berkata, PLKN perlu memainkan peranan lebih besar dengan mengadakan latihan ketenteraan sama seperti dilakukan beberapa negara Asia lain.
Jika tidak, menurut beliau, PLKN hanya akan menjadi kem musim panas yang membelanjakan dana sehingga RM600 juta setahun.
“Adakah PLKN melatih pasukan simpanan secara serius seperti yang dilaksanakan di Korea Selatan, Singapura atau Taiwan, di mana pelatih melalui latihan sepanjang dua tahun bersama dengan tentera tetap?
“Ataupun hanya kem musim panas untuk tiga bulan yang tidak ada kena mengena dengan latihan ketenteraan? Ada banyak lagi cara lain untuk memupuk semangat patriotisme,” katanya ketika dihubungi semalam.
Chin Tong memberitahu, jika PLKN diadakan seperti latihan ketenteraan, ia akan memperkasakan lagi pertahanan negara.
“Sumber ketenteraan seperti anggota dan pegawai tentera, peluru dan senjata, adalah amat terhad dan amat bernilai.
“Pegawai tentera bukan pelatih kem musim panas. Tugas utama mereka adalah untuk bersiapsiaga untuk peperangan. PLKN tidak harus jadi lubuk kontrak untuk kroni,” katanya.
Beliau mengulas desakan beberapa pihak termasuk bekas Ketua Pengarah Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN), Datuk Abdul Hadi Awang Kechil agar menghidupkan semula program tersebut.
Malah, Kementerian Pertahanan telah mengadakan beberapa sesi libat urus mengenai PLKN sejak tahun lalu setelah Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika berkhidmat sebagai Menteri Pertahanan pada 2020 meluahkan hasrat untuk mengembalikan program tersebut.
Minggu lalu, akhbar ini melaporkan sebahagian 62 pengusaha kem PLKN yang dimansuhkan pada 2018 muflis manakala yang lain menunggu tindakan bankrap selepas menanggung beban hutang besar akibat pemansuhan program tersebut.- UTUSAN











