Felcra ajak pemilik bangunkan tanah terbiar  - Utusan Malaysia

Felcra ajak pemilik bangunkan tanah terbiar 

AHMAD Jazlan Yaakub (kanan) menyampaikan bantuan bakul makanan kepada penerima pada Program Jelajah Mini Karnival Keluarga Malaysia Felcra Berhad 2022 di Kampung Padang Limau, Bukit Bakar, Machang, Kelantan hari ini.-UTUSAN/ROSMIZAN RESDI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MACHANG: Felcra Bhd. mengajak pemilik tanah terbiar di negara ini menikmati pulangan sehingga empat kali setahun menerusi Kempen Pembangunan Tanah Terbiar bersama agensi berkenaan.

Pengerusinya, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub berkata, agensi berkenaan akan memainkan peranan dengan menguruskan tanah terbaik menerusi tanaman komoditi utama negara seperti getah dan kelapa sawit.

Menurutnya, melalui kaedah itu para pemilik tanah akan menikmati keuntungan menerusi hasil tanaman tersebut selepas ditolak daripada perbelanjaan pembangunan.

“Bagaimanapun, tanah terbiar itu haruslah kawasan yang mampu mengeluarkan hasil dan bukan tanah gersang. Oleh itu kita akan membuat kajian terlebih dahulu sama ada tanah tersebut sesuai untuk penanaman sawit atau getah.

“Bagi memastikan pengurusan yang cekap, kita (Felcra) telah menetapkan jumlah minimum tanah. Setakat ini yang sudah diterima tujuan berkenaan adalah seluas 121.4 hektar,” katanya selepas merasmikan Jelajah Mini Karnival  Keluarga Malaysia Felcra Berhad 2022 di Kampung Padang Limau, Bukit Bakar di sini hari ini.

Ahmad Jazlan memberitahu, pihaknya telah mengenal pasti hampir 1,500 peserta seluruh negara bagi tujuan penanaman semula kelapa sawit untuk pusingan kedua setelah mencapai usia 25-30 tahun.

Katanya, menerusi Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) Felcra menyasarkan 50,000 hektar penanaman semula sawit bagi tempoh lima tahun yang diusahakan oleh hampir 1,500 peserta dari seluruh negara

“Namun, setakat ini kita belum lagi mempunyai kawasan baharu yang boleh diteroka untuk penanaman kelapa sawit.

“Setakat ini, kita mempunyai beberapa tanaman komoditi yang mana 20 peratus adalah padi dan getah manakala 80 peratus pula adalah tanaman sawit,” ujarnya. –UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya