Eizlan mahu bantu survival politik Melayu - Utusan Malaysia

Eizlan mahu bantu survival politik Melayu

EIZLAN YUSOF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kehadiran Datuk Seri Eizlan Yusof dalam mesyuarat Gerakan Tanah Air (GTA) diasaskan Tun Dr. Mahathir Mohamad bukannya gambaran beliau akan menjadi calon mewakili mana-mana parti pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Eizlan berkata, beliau bersama beberapa pertubuhan lain menerima jemputan mendengar pandangan Dr. Mahathir tentang survival politik orang Melayu.

Justeru, pelakon Dendam­ Aurora itu teruja setelah men­dengar penerangan terperinci daripada gabungan itu demi memastikan orang Melayu terus bersatu kerana beliau juga mempunyai matlamat perjua­ngan sama.

“Saya tidak mahu bercakap mengenai pilihan raya atau saya akan bertanding, tetapi, saya lebih cenderung untuk bercakap mengenai survival orang Melayu dalam negara kita. Banyak perkara perlu diambil berat.

“Setelah saya mendengar pandangan GTA, banyak hal yang membuka mata dan minda saya yang mungkin sebelum ini terlepas pandang, dan saya terbuka untuk bersama dalam menjayakan survival orang Melayu pada masa hadapan,” kata beliau ketika dihubungi semalam.

Seniman

Baru-baru ini, Eizlan dan pengarah filem, Ahmad Idham Ahmad Nadzri mewakili seniman hadir ke mesyuarat penubuhan Gagasan Bangsa (komponen parti bukan politik) yang dipercayai bakal bergabung dengan GTA bagi mendepani PRU15.

Semalam, Mingguan Malaysia melaporkan, Ahmad Idham ke­luar Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) kerana mendakwa, banyak masalah dalaman parti dan janji-janji tidak dipenuhi selama bersama parti itu.

Sementara itu, Ahmad Idham ketika dihubungi berkata, penglibatannya semata-mata memperjuang dan memartabatkan pendidikan khas untuk anak istimewa serta memberi sumbangan kepada masyarakat melalui saluran sedia ada memandangkan GTA mempunyai matlamat sama.

“Politik adalah benda baharu dalam hidup saya, tetapi, kalau ada saluran yang saya boleh untuk bersama membantu masyarakat, maka saya akan pergi sama ada parti politik atau NGO.
“Terlalu awal saya masuk dalam politik. Gerakan saya untuk memperjuang pendidikan khas anak istimewa kerana saya lihat GTA menghargai pertubuhan seperti ini,” katanya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN