KUALA TERENGGANU: Kesungguhan Pas mahu mengajak UMNO menjalinkan kerjasama Muafakat Nasional (MN) kerana percaya kerjasama dengan Perikatan Nasional (PN) tidak dapat menjamin kemenangan besar dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) nanti.
Pensyarah Program Pengajian Polisi, Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Pembangunan Sosial, Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Prof. Madya Dr. Mohd. Yusri Ibrahim berkata, pemimpin Pas masih berharap rundingan dapat diadakan bersama UMNO mengenai kerjasama tersebut menjelang PRU15.
Menurutnya, kerjasama Pas dan UMNO akan memberi kekuatan kepada kedua-dua parti Melayu itu untuk menghadapi pilihan raya umum selepas mereka berjaya memenangi beberapa Pilihan Raya Kecil (PRK) pasca PRU14 hasil kerjasama tersebut walaupun kalah di kerusi tersebut sebelumnya.
“Pas sedar bahawa UMNO adalah parti paling kuat mendapat sokongan pengundi Melayu pada masa ini, kerjasama dengan UMNO juga berpotensi memberi kelebihan kepada Pas,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini semalam.
Utusan Malaysia semalam melaporkan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, tiada sebarang perbincangan antara UMNO dan Pas bagi ‘menyuburkan’ kembali Muafakat Nasional (MN) menjelang PRU15.
Sebelum itu, Naib Presiden Pas, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, Pas tetap berhasrat mahu mengadakan perbincangan dengan UMNO mengenai hubungan kedua-dua parti itu dalam MN sebelum PRU15.
Dr. Mohd. Yusri berkata, beliau melihat Pas masih berusaha mendapat kedua-dua manfaat kerjasama dengan Bersatu dalam PN dan UMNO pula MN.
“Walaupun telah menyertai PN secara rasmi bersama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Pas masih berusaha untuk mendapat keuntungan daripada kerjasama dengan UMNO.
“Ini adalah strategi politik untuk mendapat manfaat maksimum daripada peluang-peluang kerjasama yang berpotensi,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau menambah, terdapat sekitar 30 kerusi Parlimen yang berpotensi dimenangi oleh PH sekiranya Pas dan UMNO bertembung sesama sendiri.
“Pas dilihat cuba mengelak situasi ini dan mengharap kerjasama bersama UMNO membolehkan mereka memenangi kerusi-kerusi tersebut,” kata beliau. – UTUSAN










