Dasar Wanita Johor diperkenal atasi LGBTQ - Utusan Malaysia

Dasar Wanita Johor diperkenal atasi LGBTQ

Mohd. Fared Mohd. Khalid
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Kerajaan negeri tidak akan membenarkan golongan lesbian, gay, biseksual, transgender dan pelik (LGBTQ) bertapak dan berakar umbi di Johor, sekali gus mengekang gejala tidak sihat itu.

Bagi menangani perkara itu, kerajaan negeri akan memperkenalkan dasar khas,  Wanita Johor supaya menangani isu sosial itu daripada terus menjadi barah dalam masyarakat.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam negeri, Mohd. Fared Mohd. Khalid berkata, dasar itu kini sedang dirangka bersama Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat negeri, Khairin Nisa Ismail.

Beliau berkata, Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) turut berperanan merangka modul tersebut bagi memastikan penglibatan kelompok itu dikenal pasti dan ditangani di peringkat awal sebelum merebak dalam masyarakat. 

“Budaya LGBTQ ini menjadi kebimbangan kerajaan negeri kerana ia mudah menjadi ikutan golongan lebih muda atas pelbagai faktor termasuk pengaruh rakan sebaya. 

“Justeru, dasar khas Wanita Johor yang akan dilancarkan tidak lama lagi itu menjadi modul lengkap membabitkan pendidikan keluarga, undang-undang serta penguatkuasaan membabitkan golongan wanita, keluarga dan masyarakat. 

“Dasar itu juga akan merangkumi modul bagi menangani isu LGBTQ dari awal di peringkat keluarga supaya ia tidak berakar umbi dan menjadi barah dalam masyarakat,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Simposium Kaunseling Islam ‘Pelangi Islam’ di Dewan Besar, Pusat Islam Iskandar, di sini hari ini. 

Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam, Datuk Nooh Gadut dan Pengerusi Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam (Puspanita) negeri, Puan Seri Dr. Noor Azizah Abdul Latif. 

Ditanya mengenai langkah Singapura yang akan memansuhkan jenayah seks antara lelaki, sekali gus akan memberi kesan terhadap negeri ini, Mohd. Fared berkata, setiap negara mempunyai pendekatan berbeza dalam menangani isu LGBTQ. 

“Singapura mempunyai cara tersendiri dan Johor yang merupakan negeri Islam juga mempunyai kaedah tersendiri bagi menangani isu LGBTQ. 

“Singapura mengamalkan hak asasi lebih luas berbanding kita, namun kita mempunyai acuan sendiri dalam menjaga rakyat termasuk terpengaruh daripada unsur LGBTQ,” katanya. 

Ahad lalu, Singapura akan memansuhkan jenayah seks antara lelaki, kata Perdana Menteri, Lee Hsien Loong sambil menambah masyarakat di negara itu semakin menerima golongan gay.

Bagaimanapun, Hsien Loong menegaskan, kerajaan tidak berhasrat untuk mengubah takrifan undang-undang perkahwinan di negara tersebut, iaitu antara lelaki dan wanita. –UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya