Dakwa difitnah, jutawan hartanah saman RM7 juta - Utusan Malaysia

Dakwa difitnah, jutawan hartanah saman RM7 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Jutawan hartanah, Mohamad Azlan Abdullah @ Ali yang mendakwa mengalami kemurungan akibat difitnah menerusi media sosial memfailkan saman fitnah RM7 juta terhadap seorang lelaki dari Tumpat, Kelantan.

Beliau atau lebih dikenali Muhammad Azlan Al Amin, 35, yang juga Pengarah Urusan Azlan Al Amin Group Holdings Sdn. Bhd. berkata, perkara itu disedarinya pada 20 Ogos lalu ketika ternampak beberapa hantaran dan siaran langsung di Facebook oleh lelaki yang dikenalinya pada tahun lalu.

“Antara kenyataan fitnah ialah seperti mendakwa saya tidak membayar hutangnya sebanyak RM10,000, kononnya saya melantik dirinya supaya membuat siaran secara langsung di Facebook untuk menaikkan jumlah pengikut saya di Facebook.

“Lelaki itu juga memfitnah saya menyuruh sekumpulan samseng membuat ugutan bunuh dan cuba mencederakannya. Malah, dia memfitnah saya turut mempunyai pakatan dengan polis untuk mengenakan beliau,” katanya ketika dihubungi semalam.

Selain kenyataan-kenyataan itu, Muhamad Azlan berkata, lelaki itu turut mempersendakan Islam dengan kenyataan mengenai sunnah janggutnya.

Susulan itu, beliau membuat laporan di Balai Polis Jertih, Besut pada 5 petang semalam agar kenyataan fitnah itu disiasat di bawah seksyen 499 Kanun Keseksaan.
Muhammad Azlan berkata, beliau memohon lelaki itu disiasat atas kesalahan mempersendakan agama dan sunnah.

“Saya alami kemurungan, tekanan perasaan, malu dan tertekan kerana diaibkan. Oleh kerana lelaki itu dikenali ramai, status berunsur fitnah dan siaran langsung di Facebooknya terhadap saya ditonton berpuluh ribu orang,” jelasnya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Besut, Superintenden Abdul Rozak Muhammad mengesahkan menerima laporan daripada Mohamad Azlan.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN