'Cah keting' antara punca kekalahan tiga penggal di Selangor

‘Cah keting’ antara punca kekalahan tiga penggal BN Selangor

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Semua parti komponen Barisan Nasional (BN) Selangor diingatkan menjauhi budaya ‘cah keting’ atau sabotaj yang menjadi antara punca kekalahan tiga Pilihan Raya Umum (PRU) sebelum ini.

Amanat yang dilaungkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob itu disokong sepenuhnya kepimpinan dan akar umbi parti di negeri ini.

Ketua Pembangkang Selangor, Datuk Rizam Ismail berkata, faktor perpaduan dan persepakatan amat penting bagi merampas semula negeri ini sejak tiga penggal lalu dan dalam masa sama pihak perlu menerima keputusan parti dengan hati terbuka terutama melibatkan pemilihan calon nanti.

“Kita kena terus bekerja sebagai satu pasukan walaupun tidak dipilih menjadi calon parti masing-masing.

“Jangan kerana perkara itu, wujud budaya cah keting yang memecah belahkan parti sekali gus menjadi punca kekalahan kita kelak,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Bagi Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md. Yunos, rakyat kini dilihat sudah muak dengan isu pertelagahan antara pemimpin parti di negeri ini.

“Biarpun kita mempunyai kekuatan jentera kuat dan ramai ahli, ia tidak bermakna sekiranya masih ada pihak yang memikirkan kepentingan peribadi berbanding parti itu sendiri.

“Justeru, solidariti itu amat penting dan ia perlu dititikberatkan bagi memastikan kemenangan kembali berpihak kepada BN,” ujarnya.

Sementara itu, Ketua Pemuda UMNO Bahagian Shah Alam, Mohd. Dendera Billah Zamzuri berkata, kepimpinan dan akar umbi tidak sewajarnya bergaduh dan menyerang sesama sendiri sehingga melemahkan parti.

“Sesiapa saja yang diangkat menjadi calon nanti, kita perlu menyokong dan jangan pula memboikotnya. Apa yang penting adalah terus menarik sokongan pengundi putih BN dengan menggerakkan jentera secara senada dan konsisten,” jelasnya.- UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN