Bukan menang nasib - Amira - Utusan Malaysia

Bukan menang nasib – Amira

AMIRA Aisya Abdul Aziz (kiri) bersama pembantunya melihat buku-buku yang akan diberikan kepada murid-murid di pejabatnya di Pusat Khidmat Puteri Wangsa Eco Cascadia, JOhor Bahru disini.-UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Puteri Wangsa, Amira Aisya Abdul Aziz tidak menganggap kemenangannya pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor Mac lalu kerana nasib.

Sebaliknya, Timbalan Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) itu berkata, ia adalah hasil kerja keras pasukannya dan perubahan minda rakyat, khususnya pengundi yang lebih terbuka untuk menerima generasi muda sebagai pemimpin.

“Apabila saya selaku calon Muda menang pada PRN Johor Mac lalu, ia adalah satu isyarat penting bahawa masyarakat negara ini mendambakan pemimpin dalam kalangan generasi muda untuk menerajui negara.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Saya tidak berasa kemenangan ini sebagai nasib hanya kerana ia serentak dengan pelaksanaan Undi18, tetapi kami bekerja keras untuk mendapatkannya. Perlu diingat, Malaysia bukan hanya diduduki golongan muda,” katanya kepada Utusan Malaysia, di sini.

Menurut Amira Aisya, kemenangannya di DUN Puteri Wangsa juga bukan semata-mata disebabkan pengundi muda kerana majoritinya pengundi yang lebih berusia turut memilih beliau sebagai wakil rakyat berbanding calon-calon lain.

“Apabila dapat keputusan PRN Johor bagi DUN Puteri Wangsa, saya terkejut dan gembira kerana hampir semua pengundi Saluran 1 dan Saluran 2 kami menang. Bermakna kewujudan Muda dan saya diterima bukan sahaja oleh pengundi muda, malah juga oleh mereka yang lebih berusia.

“Walaupun pengundi ini bukan individu berusia muda, mereka percaya masa depan negara terletak pada tangan orang muda. Mereka berbuat demikian kerana tahu kami (pemimpin generasi muda) berdepan cabaran sama yang dihadapi anak dan cucu mereka,” ujarnya.

Namun, Amira Aisya mengaku dan amat menyedari bahawa amanah serta tanggungjawab yang digalas selepas menjadi calon Muda pertama yang dipilih secara rasmi sebagai wakil rakyat di negara ini amat besar.

“Setelah menang PRN Johor, perasaan gembira itu sebentar sahaja sebelum terasa amanah dan tanggungjawab yang perlu dipikul. Saya bukan sahaja memikul amanah penduduk DUN Puteri Wangsa, malah juga memikul amanah Muda untuk menjadi penanda aras wakil rakyat parti berkenaan.

“Bagi saya itu bukan satu perkara yang mudah, tetapi setelah diberi kepercayaan itu saya mahu pastikan politik khidmat dan politik dasar yang menjadi misi dan visi Muda berjalan seiring.

“Ini kerana saya sedar sifat kepimpinan itu tidak terletak pada usia seseorang. Contoh boleh dilihat dalam realiti hari ini apabila sebilangan wakil rakyat lebih berusia memilih menjadikan Parlimen sebagai platform untuk ‘bergaduh’ dan bukan sebaliknya, iaitu untuk membela nasib dan kebajikan rakyat,” katanya. –UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×