Buka sekolah sesi 2023/2024 bermula Mac rasional - NUTP - Utusan Malaysia

Buka sekolah sesi 2023/2024 bermula Mac rasional – NUTP

AMINUDDIN Awang ketika ditemui pada majlis menandatangani MoU antara NUTP dan Takaful Am Malaysia di Putrajaya. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) mahu ibu bapa  menerima dengan hati terbuka mengenai penetapan sesi akademik 2023/2024 yang bermula Mac tahun depan biarpun bakal  ‘bertembung’ dengan bulan Ramadan dan Syawal.

Presidennya, Aminuddin Awang berkata, pihaknya sedar perkara tersebut malah turut menerima banyak rungutan kononnya ibu bapa terpaksa berdepan kos perbelanjaan tinggi kerana sesi akademik itu hampir dengan bulan puasa dan Aidilfitri.

“NUTP pun sama macam ibu bapa, kalau boleh kita mahu sesi akademik ini dikembalikan sama macam sebelum ini, bagaimanapun untuk setahun dua ini (sesi 2023 dan 2024) ini kita ikut seperti dirancang Kementerian Pendidikan (KPM).

“Kita pernah berbincang dengan KPM mengenai perkara ini, malah pernah menyuarakannya kepada Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Radzi Jidin.

“Mereka (KPM) telah jelaskan rasional pelaksanaan sesi akademik itu dan kami boleh terima penjelasan mereka kerana ada kebaikannya khususnya kepada pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM),” katanya ketika ditemui pada majlis menandatangani MoU antara NUTP dan Takaful Am Malaysia hari ini.

Menurut beliau, sesi akademik baharu itu ada baiknya keran lepasan SPM tidak perlu menunggu lama iaitu hanya tiga bulan untuk mendapat keputusan peperiksaan mereka berbanding enam ke tujuh bulan sebelum ini.

Sesi akademik

Aminuddin berkata, KPM sudah mengambil kira semua perkara sebelum sesi akademik itu diperkenalkan termasuk tarikhnya yang hampir dengan tarikh hari raya dan perayaan lain termasuk cuti penggal bagi memastikan kelancaran.

Bagaimanapun, katanya, NUTP akan berusaha supaya sesi akademik bagi tahun 2025 dapat dikembalikan kepada asal. 

“Kita terima banyak permintaan supaya isu ini dibawa ke pengetahuan kerajaan, tetapi KPM pun sudah cuba yang terbaik dan ini adalah pilihan yang terbaik kita ada sekarang. 

“Semua benda sudah diambil kira, perbelanjaan, hari raya, perayaan lain, cuti penggal, kesesakan balik kampung semuanya diambil kira kerana kita tidak mahu berikan permasalahan kepada semua pihak. 

“Apa yang dilakukan ini berasaskan kepada pengalaman tahun lalu dan kita dapati sesi akademik yang dilakukan ini adalah yang terbaik dan sesuai setakat ini,” katanya. 

Sebelum ini, segelintir ibu bapa menyuarakan kebimbangan terutama berkaitan jangkaan  perbelanjaan tinggi menjelang pembukaan sesi akademik 2023/2024 kerana tarikhnya hampir dengan sambutan Ramadan dan Syawal.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN