'Budaya kerja teruk dalam KKM tidak benar'   - Utusan Malaysia

‘Budaya kerja teruk dalam KKM tidak benar’  

SITI Hamisah Tapsir bercakap ketika taklimat media khas mengenai Laporan Penambaikan Budaya Kerja Perkhidmatan Kesihatan di KKM Putrajaya. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Tohmahan segelintir pihak yang mendakwa kononnya Kementerian Kesihatan (KKM) selama ini mengamalkan budaya kerja teruk untuk para petugas didapati terbukti tidak benar.

Perkara tersebut didedahkan oleh Pengerusi Pasukan Petugas Khas bagi Penambahbaikan Budaya Kerja Perkhidmatan Kesihatan (HWCITF), Prof. Datuk Dr. Siti Hamisah Tapsir hari ini.

“Berdasarkan hasil maklum balas kaji selidik, lebih 60 peratus responden menyatakan bahawa budaya kerja di kementerian tersebut adalah positif,” katanya dalam sidang akhbar khas di sini.

Terdahulu, beliau yang mengetuai pasukan seramai lapan individu tersebut membentangkan rumusan laporan mengenai beban tekanan tinggi dialami para petugas kementerian berkenaan.

HWCITF ditubuhkan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin pada 13 Mei lalu susulan kes maut seorang pegawai perubatan siswazah (PPS) Hospital Pulau Pinang (HPP) pada 17 April lalu.

Misteri kematian doktor pelatih muda berusia 25 tahun itu menjadi topik panas pelbagai pihak dengan ramai menyalahkan budaya tidak sihat termasuk amalan buli dalam hospital kerajaan.

Bagaimanapun, pasukan khas itu tidak terlibat dalam penyiasatan kes seorang doktor di HPP ditemui maut selepas meletak jawatan akhir 2020 lalu kerana laporan ditutup pihak polis.

Mengulas lanjut, Siti Hamisah berkata, cuma baki 20 peratus responden lagi memutuskan untuk bersikap neutral manakala kurang 20 peratus yang mengakui budaya kerja adalah negatif.

Kaji selidik melibatkan sejumlah 110,411 orang pegawai dan kakitangan kementerian tersebut sebagai responden iaitu hampir separuh daripada keseluruhan staf seramai 227,736 petugas.

“Ini sekali gus membuktikan bahawa budaya kerja yang diamalkan kementerian itu adalah baik terutama isu penjagaan pesakit, komuniti dan tugas secara berpasukan,” tegas beliau.

HWCITF ujarnya turut melakukan lebih 40 siri perbincangan kumpulan kerja, sembilan kali mesyuarat induk dan dua sesi taklimat kepada menteri serta libat urus dengan pelbagai pihak.

Pasukan itu tambah beliau, juga melaksanakan analisis laporan pengesanan dan pengesahan serta semakan kontrak PPS sebelum 10 syor diserahkan kepada Khairy pada 11 Ogos lalu.

Beliau memberi jaminan bahawa cadangan penambahbaikan budaya kerja itu tidak memberi kesan negatif kepada kualiti perkhidmatan petugas kerana mereka dilatih dengan amat baik. Namun, pada masa sama kata Siti Hamisah, HWCITF merumuskan tahap kerjaya pegawai perubatan amat mencabar dan hanya memerlukan individu yang benar-benar berjiwa komited.

Mereka jelasnya, kena sanggup melalui latihan dan cabaran persekitaran pekerjaan selain itu harus bersedia berdepan dengan beban tugas yang tinggi serta tempoh waktu kerja panjang.

“Justeru, antara syor bagi memperkasakan kerjaya ini termasuk pihak kementerian kena wujud sebuah jawatankuasa kelayakan perubatan dan pra-saringan calon doktor baharu,” katanya.

Tidak ketinggalan, HWCITF mengesyorkan standard latihan PPS diperkukuhkan manakala sistem e-Houseman untuk doktor pelatih ditambah baik agar selaras perkembangan semasa.

Program Transformasi Minda dan Orientasi di kesemua hospital awam juga ujarnya, perlulah diseragamkan di samping penubuhan kumpulan sokongan untuk berkongsi permasalahan.

 Segala saranan itu mengambil kira skop budaya kerja di kementerian yang sangat luas tetapi beliau optimis, inisiatif disyorkan HWCITF akan menjadikan suasana kerja PPS lebih positif. –UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya