BN gerak solo: ‘Dia nak lipat, lipatlah tapi Pas tetap terbuka’ - Utusan Malaysia

BN gerak solo: ‘Dia nak lipat, lipatlah tapi Pas tetap terbuka’

HASHIM Jasin ketika berucap sempena pelancanran Jentera Pilihanraya Pas Kedah di Naka, Padang Terap, malam tadi. -UTUSAN/SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADANG TERAP: Pas tetap dengan pendirian untuk tidak menutup pintu rundingan bersama UMNO bagi menjalin kerjasama sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) walaupun Barisan Nasional (BN) telah memuktamadkan untuk bergerak solo.

Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin berkata, perpaduan ummah yang dibentuk sebelum ini bukan kehendak Presiden parti itu, Tan Sri Abdul Hadi Awang atau Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi sebaliknya ia perintah dan suruhan Allah SWT.

Menurut beliau, masih ada ruang untuk kedua-dua pihak berbincang kerana suasana dalam Muafakat Nasional (MN) yang dimeterai di Pusat Dagangan Dunia (WTC) dua tahun lalu cukup baik berbanding sebelum piagam itu ditandatangani yang mana Pas dan UMNO tidak boleh ‘berada berdekatan’.

“Sepatutnya janganlah lipat awal-awal masuk bawah meja. Kita ada ruang untuk bincang, ada ruang untuk bicara kerana Allah yang suruh. Maka dia (UMNO) nak lipat, lipatlah tetapi kita (Pas) masih terbuka.

“Cuma kita harap satu iaitu walaupun pihak kita sedia untuk buka tangan menerima janganlah tikam belakang, jangan rosakkan perpaduan kerana saya cukup sayang dengan apa yang kita pakat bersama selama ini,” katanya selepas melancarkan Jentera Pilihanraya Pas Kedah di Naka, malam tadi.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas keputusan BN untuk bergerak solo pada PRU15 sebagai muktamad dan telah diputuskan sebulat suara oleh parti seperti dinyatakan Timbalan Pengerusinya, Datuk Seri Mohamad Hasan di Terengganu, semalam.

Bertembung

Bagaimanapun, Hashim berkata, Pas tetap bersedia untuk bertembung dengan UMNO sekiranya perkara itu tidak dapat dielakkan.

“Walau macam mana sekali pun, kita berharap supaya kita berdamai, hang (UMNO) nak berkawan mai (silakan), hang nak lawan hang tunggu (tetapi) kita berhenti dahulu bab nak berlawan itu. Mari kita berkawan dan berhenti bercakap soalnya,” katanya.

Sementara itu, Hashim mengimbau detik sebelum piagam MN digubal apabila meminta satu perkara dimasukkan oleh kedua-dua parti itu dalam perjanjian berkenaan ketika bertemu Ahmad Zahid di Alor Setar.

“Saya ingat lagi semasa sebelum piagam diadakan di WTC, kita berjumpa dengan Ahmad Zahid di Alor Setar. Kita suarakan kata Datuk Seri watikah yang nak ditandatangani itu boleh tak kalau diakhirnya masukkan ayat ‘jika sekiranya berlaku sebarang perselisihan dalam perjanjian ini maka hendaklah dirujuk kepada al-Quran dan sunnah ataupun Allah dan Rasul’. 

“Dia bersetuju. Bagus, bagus, bagus dia kata. Selepas tu diarahkan Setiausaha Agung UMNO masa itu, Tan Sri Annuar Musa masukkan perkara itu dan Annuar datang mengakui sendiri depan saya bahawa dia yang tulis.

“Maka dalam perpaduan ummah ini walaupun ada orang tak mahu tapi kalau kita teruskan seruan ini sebab Pas komited untuk perjuangan dan serah pada Tuhan, Tuhan boleh tolong kita dan peroleh kejayaan,” katanya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.