PUTRAJAYA: Gerakan Belia 4B Kebangsaan mempersoalkan sikap berdiam diri Kementerian Komunikasi dan Multimedia (K-Komm) dalam isu kontroversi konsert Billie Eilish minggu lalu.
Malah, Pemangku Presidennya, Fahami Ashrof Badaruddin kesal apabila Pusat Permohonan Penggambaran Filem dan Persembahan Artis Luar Negara (Puspal) ‘membisu’ dalam isu itu.
Katanya, langkah ‘senyap’ agensi di bawah kementerian tersebut amat mengecewakan pelbagai pihak yang tertanya-tanya kenapa konsert penyanyi pro-Israel dan LGBT itu boleh pula diluluskan.
“Sudahlah ia diadakan pada lewat Khamis malam Jumaat, konsert itu pula menenggelamkan semangat patriotik bersempena kempen Bulan Kebangsaan 2022,” katanya ketika dihubungi semalam.
Program hiburan artis asing di Malaysia ketika ini termasuklah persembahan di hotel, stesen televisyen dan premis komersial dikawal ketat oleh pihak K-Komm menerusi Puspal.
Bagaimanapun penganjuran konsert Eilish mendapat bantahan umat Islam kerana dibimbangi kesan pengaruh negatif penyanyi wanita popular dari Amerika Syarikat itu kepada generasi muda.
Antara yang protes kehadiran Eilish ke Malaysia ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad dan Ketua Pemuda Pas Pusat, Ahmad Fadhli Shaari.
Mengulas lanjut, Fahami Ashrof menegaskan bahawa sebagai pemimpin organisasi belia, beliau turut amat sedih melihat sambutan anak muda yang teruja datang memeriahkan konsert.
“Meskipun ada kata acara itu gagal dapat sambutan sebab harga tiket mahal, tetapi apabila lihat keterujaan belia menjadikan Eilish sebagai idola pujaan, ia cukup memalukan,” jelasnya.
Pada masa sama beliau turut meminta K-Komm dan Puspal supaya lebih tegas menyaring artis luar kerana selebriti sedemikian ada pengaruh besar kepada pembentukan minda remaja. – UTUSAN










