KLUANG: Walaupun usianya sudah menjangkau 19 tahun, namun akibat tidak boleh berjalan serta menguruskan diri, Aida Sofia Mohamed Zakir dijaga seperti seorang bayi.
Ibunya, Kamisah Ab. Manaf, 49, memberitahu, penyakit lemah sehingga tidak mampu berjalan anak kedua daripada empat beradik itu mula dikesan ketia dia berusia tiga tahun namun tidak menyangka berlanjutan hingga dewasa.
“Akibat daripada penyakit dihidapinya, dia tidak pernah dihantar ke sekolah selain tidak boleh menguruskan diri termasuk membuang air serta mandi.
“Aida perlu dipakaikan lampin pakai buang kerana dia juga tidak boleh bercakap untuk memberitahu apa yang berlaku padanya,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Nasib Aida Sofia mendapat perhatian daripada Pengerusi Kelab D’Kluang, Md. Norhalim Md. Amin yang menziarahi keluarga berkenaan di kediaman mereka di Taman Lambak, dekat sini hari ini.
Menurut Kamisah, anaknya yang dikategorikan sebagai orang kurang upaya (OKU) kini tidak lagi mendapat sebarang bantuan sejak tahun 2018, sedangkan sebelum ini menerima bantuan sebanyak RM300 sebulan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Mereka sekeluarga mengaku tidak mengetahui sebab anaknya tidak lagi mendapat sebarang bantuan dan keadaan itu menyebabkan kesukaran bagi membeli lampin pakai buang untuknya.
“Aida menggunakan antara tiga hingga empat keping lampin pakai buang sehari selain bekalan susu khas untuk pertumbuhan tulang kakinya juga terpaksa dihentikan.
“Dengan gaji suami sebagai pengawal keselamatan tidak membolehkan kami untuk menyediakan secukupnya barang-barang yang diperlukan itu,” katanya
Justeru, Kamisah amat berharap pihak berkaitan dapat memberikan semula bantuan kepada anaknya itu bagi membolehkan mereka memberikan penjagaan kesihatan yang baik kepadanya.
Orang ramai yang bersimpati dengan nasib Aida Sofia boleh menghubungi Kamisah menerusi talian 016-9966670 untuk mendapatkan maklumat. –UTUSAN